Berita

Wujudkan akta khas lindungi Institusi Diraja

- Diterbit 19 April 2024 12:02 PM MYT

PERBUATAN menghina Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dan Institusi Raja-Raja Melayu (RRM) perlu dibanteras kerana ia jelas telah melanggar prinsip Rukun Negara kedua iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Negara.

Bekas Felo Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abdul Muis berkata perbuatan tersebut merupakan bibit-bibit yang sedang bercambah apabila tindakan menghina Institusi Diraja secara terang-terangan khususnya dalam kalangan generasi muda dengan menggunakan platform media sosial dilihat menjadi budaya.

“Kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Komunikasi perlu bertindak tegas terhadap apa jua perkara-perkara yang menyentuh perihal 3R (Raja, Bangsa dan Agama) dan sebarang bentuk provokasi yang telah menimbulkan kegusaran awam dan ia berpanjangan,” katanya ketika dihubungi.

Pensyarah Kanan Sains Politik itu juga berkata kerajaan disarankan untuk menggubal satu akta khas yang boleh melindungi Institusi Diraja daripada disentuh dan dipermainkan oleh kumpulan-kumpulan tertentu untuk jangka masa panjang.

“Saya tidak melihat akta itu akan menutup kebebasan bersuara kerana konteks kebebasan di dalam Perlembagaan Persekutuan itu tidak mutlak sepenuhnya kerana ada akta tertentu yang mengawal dan memberikan ruang kepada perkara itu untuk lebih berkembang.

“Begitu juga ketika bersuara, sekiranya digunakan untuk perkara-perkara yang betul, ia akan memberi lebih banyak ruang kepada pencambahan idea, pertukaran pandangan yang boleh mengembangkan dan menambahkan ilmu pengetahuan maka sudah tentu ia dibenarkan.

Mujibu menegaskan bahawa semua pihak perlu menerima hakikat bahawa perubahan trend semasa atau centris yang berlaku kepada parti-parti politik disebabkan dinamika politik itu berubaj dan ia bergerak menjadi far left atau far right.

“Cumanya, ada parti-parti politik yang tidak bertanggungjawab yang memainkan sentimen berunsur 3R dengan niat untuk meraih laba politik yang tidak seberapa, walhal jika kita lihat isu yang menyentuh Islam dan peranan cemerlang YDPA telah pun dimainkan dengan bijaksana,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya dibiarkan berlaku tanpa kawalan dan tindakan tegas, maka tunas ekstrimis akan terbit seterusnya membentuk gelombang yang meracuni pemikiran generasi muda yang berisiko untuk negara.

Mujibu menegaskan, tindakan segelintir pihak menggunakan insiden berkaitan dengan Islam baru-baru ini didapati telah sengaja melemparkan penghinaan terhadap Institusi Diraja dan ia berpunca daripada kerangka sempit kepartian semata-mata.

“Semua pihak perlu mengambil daripada perspektif yang besar bagaimana sepanjang konflik politik, masalah ekonomi disebabkan isu kesihatan sejagat COVID-19 jelas menunjukkan Institusi Diraja ini telah melaksanakan peranan yang cemerlang sebagai payung rakyat jelata,” katanya.

Ujar Mujibu, dakwaan bahawa institusi tersebut tidak berfungsi adalah tersasar kerana sebahagian besar penyokongnya telah dimomokkan dengan sentimen tertentu serta telah mengeksploitasi perkara sensitif demi mendapatkan pulangan politik. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas