Berita

‘Zianafolks tahu kisah saya’… Ziana Zain kongsi rahsia hati sempena konsert Mei ini

- Diterbit 19 April 2024 12:11 PM MYT

EKSKLUSIF buat peminat tersayang, diva pop Ziana Zain bakal berkongsi rahsia hatinya bersama peminat pada Konsert Ziana Zain 2024.

Ziana juga memberitahu dia bakal menyampaikan 20 buah lagu penuh di konsertnya itu pada 21 Mei depan di Mega Star Arena , Sungei Wang Plaza Kuala Lumpur.

“Semua lagu pilihan Zianafolks (Kelab peminat Ziana Zain)  dan saya akan nyanyikan semua lagu secara penuh bukan medley menceritakan perjalanan hidup seorang Ziana Zain.

“Zianafolks bersama saya sejak lebih tiga dekad dan mereka tahu kisah saya jadi malam nanti kita akan sing a long,” katanya.

Lantaran, Ziana juga hanya mempersembahkan dirinya secara eksklusif pada pentas konsert itu nanti tanpa artis undangan.

“Saya mahu momen saya bersama peminat saya dan semua lagu yang disampaikan lagu yang semua akan tahu dan saya janji akan berikan yang terbaik,” katanya.

Mengenai tiket konsert, sebanyak 80 peratus sudah terjual dan pelbagai aktiviti disusun menjelang konsert itu nanti termasuk Sesi Eksklusif Bersama Ziana Zain, Ahad ini dan Birthday Bash Ziana Zain pada 5 Mei depan.

“Sesi latihan juga sedang berlangsung dan Alhamdulillah berjalan lancar. Doakan saya sihat dan semua dipermudah.

“Mengenai baju dan penampilan semua itu nantikan pada malam konsert nanti,” katanya mengenai konsert tajaan CSA Academy itu.

Dalam pada itu, Ziana akui  terharu apabila mengetahui ada peminat cilik berusia lapan tahun yang menggemari dirinya dan lagu nyanyiannya.

“Saya tak sangka sebab mereka daripada generasi hari ini, saya memulakan kerjaya tahun 90-an namun saya ada peminat dalam golongan muda dan juga kanak-kanak.

“Saya masih ingat pernah didatangi seorang anak muda beritahu saya, ‘aunty saya minat aunty, saya nak bergambar’.

“Saya tertawa dan pada masa sama bersyukur kerana generasi hari ini juga kenal siapa Ziana Zain, ada yang lebih muda dari anak-anak saya,” katanya kala ditemui pada sesi khas media sempena Ziana Zain Konsert 2024.

Pemilik nama sebenar Siti Roziana Zain, 56, berkata, dua lagu malar segarnya yang digemari generasi muda hari ini ialah Madah Berhelah dan Anggapan Mu.

Ziana Zain Konsert 2024 pada Mei ini menyaksikan syarikat diasaskan Ziana, iaitu Ziana Zain Network Sdn Bhd bekerjasama dengan Anuar Zain Network, manakala Altus ProHouse dilantik sebagai pengurus konsert. – WILAYAHKU

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas