Sukan

WiPers sasar lima terbaik

NIK AHMAD (kiri) ketika Majlis Penyerahan Bantuan MADANI
- Diterbit 15 Mac 2024 3:02 PM MYT

KONTINJEN Wilayah Persekutuan (WiPers) menyasarkan kedudukan lima teratas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang akan berlangsung di Sarawak pada 17 hingga 24 Ogos depan.

Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP), Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh berkata beliau mahu kontinjen Wilayah Persekutuan memperbaiki pencapaian pada 2022 ketika menjadi tuan rumah.

“WiPers akan menghantar atlet yang benar-benar mampu menyumbang pingat dan tidak akan menghantar kontinjen dalam jumlah yang besar.

“Saya mahukan semua badan sukan untuk mempersiapkan atlet masing-masing supaya berada di prestasi terbaik kerana hanya yang terbaik dan berpotensi untuk menghasilkan pingat sahaja akan dipilih ke SUKMA di Sarawak nanti.

“Biarpun cabaran membabitkan isu logistik dan peruntukan kewangan agak terhad, saya memohon komitmen dan kerjasama semua untuk memastikan setiap atlet kita ke SUKMA nanti melakukan yang terbaik demi Wilayah Persekutuan,” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Pengurus SUKMA dan Bantuan MADANI kepada badan sukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Putrajaya pada Selasa.

Menurut Nik Ahmad Zahiruddin, kontinjen Wilayah Persekutuan akan mengambil bahagian lebih daripada 30 sukan yang dipertandingkan.

“Alhamdulillah, sekarang atlet kita sedang giat membuat persiapan di mana persatuan sukan bakal menyenaraikan senarai akhir atlet pada bulan ini. Kita cuba untuk kekal berada di kelompok lima terbaik namun jumlah sasaran sebenar masih awal untuk diputuskan.

“Sasaran ini adalah berdasarkan pengiraan prestasi semasa atlet-atlet WiPers pada ketika ini. Justeru, saya menuntut komitmen dan usaha bersungguh-sungguh daripada setiap atlet untuk memastikan sasaran ini tercapai bagi membolehkan kontinjen muncul dalam top 5,” ujarnya yang bakal menghantar lebih kurang 500 orang atlet WiPers ke Sarawak.

Terdahulu, Jabatan Wilayah Persekutuan menerusi MSWP menyampaikan Bantuan MADANI bagi tahun 2024 berjumlah RM282,000 kepada 86 badan sukan merangkumi 48 badan sukan di Kuala Lumpur dan 38 badan sukan di Putrajaya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas