Atlet Wilayah

Nur Shazrin sedia ke Olimpik Paris 2024, korban Ramadan, Aidilfitri

AKSI Nur Shazrin ketika Sukan Asia Hangzhou 2022 di China
- Diterbit 15 Mac 2024 3:00 PM MYT

ATLET pelayaran negara, Nur Shazrin Mohamad Latif bersedia untuk mengorbankan sambutan Ramadan dan Aidilfitri di tanah air dalam misi memburu kedudukan terbaik di Sukan Olimpik Paris 2024 bermula 26 Julai hingga 11 Ogos ini.

Atlet berusia 26 tahun yang layak ke Paris setelah memenangi pingat emas acara ILCA 6 wanita Sukan Asia Hangzhou tahun lalu itu akan mula berkampung di Eropah pada bulan depan untuk menyertai dua kejohanan utama dan kem latihan intensif bagi menghadapi cabaran di temasya terbesar dunia tersebut.

Selepas menduduki tempat ke-33 pada penampilan sulungnya ketika Olimpik Rio 2016 dan tempat ke-26 di Tokyo 2020, dia bertekad untuk pulang dengan keputusan lebih baik pada kali ini.

“Antara cabaran yang saya perlu lalui adalah berpuasa ketika mengharungi latihan sukar di lautan bergelora selain menyambut hari raya jauh daripada orang tersayang.

“Ketika berpuasa agak susah kerana kita berlatih di laut. Kalau matahari lambat (waktu siang panjang) dekat sana perit juga tetapi kalau hari-hari jalani latihan akan jadi biasa nanti,” ujarnya.

Nur Shazrin yang baru pulang dari Kejohanan Senior Eropah ILCA 2024 dan Piala Eropah Terbuka di Athens, Greece akan meneruskan latihan selama tiga minggu di tanah air sebelum bertolak ke Palma, Mallorca di Sepanyol untuk latihan.

“Selepas itu saya akan ke Last Chance Regatta di Hyeres, Perancis dari 18 hingga 27 April ini dan terus berpangkalan di Eropah hingga Olimpik.

“Di Last Chance Regatta mempunyai dua pertandingan iaitu untuk mereka yang dah layak dan belum layak. Ia akan memberi peluang untuk menguji tahap saya serta menilai pencabar yang lain, jadi boleh mengenal pasti apa yang perlu diperbaiki menjelang Olimpik,” ujarnya.

Selain itu, Nur Shazrin yang sedar bahawa belum berada dalam tahap terbaik untuk disenaraikan dalam Program Road to Gold (RTG) berharap disediakan ahli fisioterapi untuk membantunya meneruskan rehabilisasi ketika menyertai kejohanan dan latihan di luar negara selepas mengalami kecederaan saraf ulnar di tangan kanan pada awal tahun lepas.

Pelayar yang berasal dari Pahang itu berkata keadaan berkenaan memerlukan dirinya meneruskan fisioterapi sepanjang masa bagi mengurangkan kesakitan yang berisiko membuat dia tidak boleh menggerakkan tangannya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas