Berita

Wajarkah ‘Muafakat Besar’ diteruskan?

MUAFAKAT besar perlu dinamika baru dalam landskap politik negara. - Gambar hiasan MUAFAKAT besar perlu dinamika baru dalam landskap politik negara.Perang bendera parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri Sabah semakin rancak apabila sepanjang jalan raya utama sekitar Bandaraya Kota Kinabalu dihiasi dengan bendera parti-parti yang bertanding bagi menarik perhatian orang ramai untuk menyokong parti mereka.
- Diterbit 28 November 2020 6:00 AM MYT

Hasrat pembentukan sebuah muafakat besar atau lebih enak disebut sebagai ‘grand coalition’ yang dihebahkan oleh Setiausaha Agung BN, Yang Berhormat Tan Sri TPr Annuar Musa baru-baru ini telah mengembalikan sejarah politik yang pernah melalui beberapa siri utama yang melibatkan impian ‘muafakat besar’, ‘gabungan’, ‘perikatan’ dan pelbagai lagi.

Namun, kisah gabungan parti yang pernah menempa kejayaan telah memberi sedikit sebanyak impak kepada perkembangan dan pelaksanaan sistem demokrasi negara Malaysia.

Sebelum idea gabungan ini dicadangkan oleh Annuar Musa, bekas Perdana Menteri Malaysia kedua, Yang Amat Berbahagia Orang Kaya Indera Shahbandar Tun Haji Abdul Razak bin Hussein telah melakar sejarah politik negara dengan membentuk sebuah muafakat besar selepas berlakunya rusuhan 13 Mei 1969 di mana gabungan tiga Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC telah diasaskan selepas Pilihan Raya Umum 1969.

Permuakatan besar ini diasaskan berorientasi kepada kestabilan negara yang menyaksikan ketidakseimbangan dalam negara sehingga nasib serta kebajikan rakyat pada masa itu tidak ‘selamat’.

Selepas Parlimen Malaysia disusun semula pada 1971, rundingan bermula dengan bekas parti pembangkang seperti Gerakan dan Parti Progresif Rakyat yang menyertai Perikatan pada 1972 dengan diikuti oleh PAS.

Kini, hasrat yang nampak sama tetapi ada perbezaan yang cuba diusulkan oleh Annuar Musa dengan membawa hasrat membentuk muafakat besar yang baharu dalam situasi negara Malaysia yang kritikal berjuang menghadapi pandemik COVID-19 yang semakin tiada nampak penghujungnya sehinggalah vaksin tiba serta membawa sinar harapan kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya kepada kerajaan Malaysia.

Muafakat besar yang dicadangkan oleh beliau merupakan antara muafakat serta gabungan paling besar sekiranya dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat dan mendapat peraku dari kerajaan Malaysia dan perkenan dari KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Malaysia untuk diteruskan perjuangan dalam memastikan sistem demokrasi negara Malaysia subur merentas semua landskap etnik, bangsa, agama, latar belakang dan sebagainya.

Beliau turut melapangkan dada untuk mengajak penyatuan ini yang tidak hanya terhad kepada UMNO, PAS, BERSATU tetapi mengalualukan kerajaan Perikatan Nasional termasuk anggota Muafakat Nasional, Gabungan Parti Sarawak dan Gabungan Rakyat Sabah.

Malah, undangan itu dipanjangkan kepada semua parti termasuk Pejuang, Warisan, Parti Muda, Berjasa, Barisan Kemajuan India SeMalaysia, Parti Makkal Sakti Malaysia, Parti Cina Malaysia dan lain-lain.

Hasrat muafakat besar ini bertunjangkan kepada kestabilan, ketahanan nasional dan kepentingan rakyat.

Jika diteliti kepada hasrat muafakat besar ini yang selari dengan mendahulukan rakyat dalam segala hal, muafakat ini ‘kena pada masa’ secara logik akal untuk diterima pakai dan difahami.

Apakah pendekatan terbaik yang akan digunakan oleh Annuar Musa dalam membawa penyatuan ini melangkaui ideologi kepentingan politik, memenangi PRU15 serta meyakinkan semua parti yang akan membuat keputusan untuk menyertai muafakat besar ini?

Mungkin ada sesetengah pihak yang melihat bahawa hasrat ini adalah bertunjangkan kepada agenda politik tersembunyi kerana Malaysia tidak pernah lekang dengan percaturan politik dan perebutan kuasa serta mementingkan siapa yang akan naik dan bakal dijatuhkan.

Inilah stigma yang perlu dihapuskan bukan dikikis bagi mengembalikan kepercayaan rakyat Malaysia terutama para pengundi yang semakin ‘letih’ apabila semua perkara di negara demokrasi ini sentiasa terpalit dengan masalah politik apabila sesuatu masalah itu muncul. Rakyat serik dan semakin serik.

Sebagai rakyat Malaysia termasuklah ahli politik, cadangan-cadangan yang datang dari mana-mana pihak perlu dipandang sebagai sebuah cadangan yang positif.

Sekiranya semua cadangan diterjemahkan dengan melihat konteks negatif, ia tidak memberi manfaat kepada kesuburan sistem demokrasi negara.

Sejauh manakah hasrat muafakat besar ini akan direalisasikan dalam kerajaan Malaysia? Berjayakah muafakat besar ini membawa dinamika baru dalam landskap demokrasi negara Malaysia? Hasrat ini merupakan hasrat yang baik dalam menyatukan semua parti sedia ada memperjuangkan negara dan meletakkan kepentingan rakyat sebagai ‘kiblat’ utama dalam perjuangan.

Kejayaan boleh dicapai jika mengikut rentak acuan keperluan rakyat Malaysia dan bukan kepentingan peribadi.

Dalam suasana getir yang merencatkan iklim demokrasi negara, rakyat memerlukan dahan yang kuat untuk menyokong kehidupan mereka yang sejahtera dan bahagia.

Sokongan perlu diberikan kepada muafakat besar ini jika rakyat adalah subjek utama dalam perjuangan muafakat besar ini.

Ia wajar diteruskan dan diberi galakan tetapi garis panduan harus jelas dan tidak terselit agenda tersembunyi yang akan mencalarkan kepercayaan semua pihak yang terlibat terutamanya rakyat.

Jangan hanya menjadi sejarah dalam politik negara atau ditempelkan dalam kitab carian laman web sebagai citacita yang indah khabar dari rupa.

PENULIS MERUPAKAN PENGANALISIS POLITIK, PROF MADYA DR NOOR SULASTRY YURNI AHMAD
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas