Berita

“Wajar Ditangguhkan, Luar Kawalan “- WANY HASRITA

- Diterbit 29 November 2020 5:10 AM MYT

PANDEMIK COVID-19 menimbulkan keresahan di jiwa semua orang tanpa mengira status termasuklah golongan penggiat seni. 

Wajar atau tidak acara hiburan seperti konsert ditunda? Ada yang berpendapat wajar ditunda atas faktor keselamatan. Namun bagaimanakah dengan sumber pendapatan para penggiat seni yang terlibat?

Ini kerana, semua maklum ekosistem industri hiburan bukan sahaja membabitkan penganjur acara atau artis, tetapi juga kru belakang tabir seperti jurukamera, pemuzik, pereka fesyen, jurumekap, penaja dan banyak lagi.

Pelantun lagu Canggung, Wany Hasrita menganggap situasi ini berada luar kawalan.

“Kadang-kadang, ini sesuatu yang luar kawalan kita. Memang kita sudah patuh pada prosedur operasi standard (SOP) tetapi apabila seorang daripada kita didapati positif, ia akan menjadi isu.

“Bagi saya, amat wajar kita tangguhkan acara hiburan. Iyalah… artis masing-masing risau dan terus segera melakukan swab test. Ini menunjukkan mereka sangat mementingkan kesihatan. 

“Jadi sangat wajar ditangguhkan. Semua luar bidang kuasa kita. Kalau dugaan tu nak datang, ia tetap akan ada,” kata Wany kepada WILAYAHKU. 

Bagi Wany, sebagai penyanyi dia akui sangat terkesan dengan penangguhan banyak undangan nyanyian. Namun, dia perlu akur dengan situasi semasa. 

“Penangguhan acara hiburan ini bukan saja-saja, tetapi ia adalah untuk kebaikan semua. Lagi pun ia ditangguhkan hanya untuk sementara waktu. 

“Namun saya berharap acara hiburan yang melibatkan penonton tetap diteruskan kelak demi kelangsungan hidup penggiat seni. Saya sebagai penyanyi senasib dengan mereka, ” ujar Wany lagi.

Sentiasalah jaga diri dan amalkan SOP di mana sahaja anda berada. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas