Artikel

Wajah kasih sayang lawan wajah bengis

- Diterbit 8 April 2024 12:50 PM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

BEBERAPA isu panas kebelakangan ini telah mendedahkan wajah sebenar pelbagai pihak di negara ini. Isu kantin sekolah di bulan puasa, stoking kalimah Allah dan juga perkataan kafir telah menyebabkan masyarakat Malaysia terbelah kepada beberapa kumpulan.

Namun yang paling jelas, ia memberikan gambaran sebenar wajah kerajaan Malaysia MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan wajah pembangkang yang ada di negara ini.

Isu ini juga turut memberikan gambaran yang jelas perbezaan antara PAS dan parti serpihannya,  Amanah. Ini kerana, ketika parti ini berpecah, ramai tidak faham apa beza antara PAS sebagai sebuah parti Islam dengan Amanah yang juga sebuah parti Islam.

Gambaran wajah Amanah mula terukir dengan baik melalui bekas Timbalan Presidennya, Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub melalui kempen Rahmah beliau.

Isu kantin sekolah di bulan puasa, stoking kalimah Allah dan juga perkataan kafir telah memberikan wajah yang lebih jelas lagi kepada PAS dan juga Amanah.

Ketiga-tiga isu ini telah memperkuatkan imej Amanah yang dibina oleh Allahyarham Salahuddin melalui kempen Rahmahnya. Kini Amanah lebih jelas dilihat sebagai sebuah parti yang lemah lembut, kasih sayang dan yang paling penting profesional dalam tindakannya.

Ia jauh berbeza dengan parti asalnya yang jelas dilihat melalui ketiga-tiga isu ini. Imej PAS dilihat kasar, benci dan marah melalui ketiga-tiga isu ini dan juga tidak profesional. Imej tidak profesional ini tergambar melalui kegagalan demi kegagalan yang berlaku kepada kerajaan-kerajaan negeri di bawah parti itu. Ia berlaku dengan ketara di Kelantan dan juga Kedah yang dipimpin oleh pemimpin PAS.

Imej ini dilukis melalui kenyataan para pemimpin dan juga pengikutnya yang dikenali sebagai walaun dan walauntit itu.

Ketika para pemimpin Kerajaan MADANI khasnya Amanah menuntut agar diberikan keadilan kepada semua pihak, pengikut dan pemimpin PAS serta sebahagian pemimpin UMNO menuntut agar diambil tindakan segera.

Padahal, pihak berkuasa masih menyiasat siapa pesalah atau penjahat atau culprit sebenar dalam kes stoking kalimah Allah misalnya.

Sikap ini jelas dipaparkan melalui kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.

“Untuk menangani keadaan ini, matlamat sebenar di sebalik tindakan ini perlu difikirkan dan dicermati secara tenang dan rasional supaya reaksi kita menepati sasarannya dan kita terpelihara dari keadaan adu domba yang diinginkan oleh musuh Islam dan musuh negara.

“Jangan sesekali kita mengambil tindakan secara gelojoh mengikut emosi tanpa usul periksa. Al-Quran mengajar kita untuk tabayyun terlebih dahulu supaya tidak akan berlakunya tindakan terlajak sehingga dizalimi pihak yang tidak bersalah,” kata beliau ketika mengulas isu kalimah Allah pada stoking ini.

Menteri Pendidikan, Fazlina Sidek telah memberikan imej kasih sayang yang jelas melalui dua isu yang dimainkan oleh pembangkang khasnya walaun dan walauntit.

Yang pertama, sebagai Menteri Pendidikan, Fazlina memberikan arahan agar kantin sekolah dibuka di bulan puasa bagi membolehkan orang bukan Islam dan kanak-kanak yang tidak berpuasa makan dengan tertib.

Ini kerana berlaku kejadian sebelum ini, kanak-kanak bukan Islam terpaksa makan di bilik air, stor dan sebagainya ketika bulan puasa.

Ini kerana, kanak-kanak Islam belum wajib berpuasa manakala orang bukan Islam pula sudah tentu tidak diwajibkan ke atas mereka berpuasa.

Namun arahan ini telah dipermainkan oleh walaun dan walauntit serta penyokong dan pemimpin pembangkang kononnya kerajaan tidak menghormati bulan puasa dengan membenarkan kanak-kanak sekolah makan secara terbuka ketika umat Islam berpuasa.

Kedua-dua pihak pada asasnya mempunyai hujah dalam tindakan mereka tetapi setiap tindakan telah memberikan imej tersendiri.

Ketika Fazlina dan Kerajaan MADANI mendapat imej penyayang dan rahmah, PAS dan pembangkang mendapat imej kasar dan bengis.

Begitu juga dalam kes Fazlina melarang anak-anaknya menggunakan perkataan kafir terhadap orang bukan Islam. Isu ini telah ditunggang sepenuhnya termasuk oleh anak Presiden PAS, Khalil Abdul Hadi yang mempunyai PhD dalam politik Islam.

Kenapa tajuk PhD beliau berbunyi Hak Berpolitik Orang Bukan Islam di Malaysia Menurut Siasah Syariyyah bukannya Hak berpolitik orang kafir di Malaysia menurut Siasah Syariyyah.

Khalil adalah antara orang yang awal mempermainkan Fazlina ketika tular satu poster rekaan kononnya ia adalah kenyataan Fazlina yang berbunyi Perkataan kafirpun saya haramkan di rumah. Saya tak ajar anak saya sebut kafir.

Menerusi Facebooknya, Khalil menulis Qul ya ayyuha al-qafiruun atau Qul ya ayyuhal non-muslim (Katakanlah wahai orang-orang kafir atau katalah wahai orang-orang bukan Islam).

Ketika Fazlina mahu mengajak semua orang bermuamalah dengan penuh kasih sayang, anak presiden PAS itu mengambil kesempatan untuk menyerang Fazlina yang diambil dalam konteks yang salah daripada yang dimaksudkan oleh Fazlina.

Ia dilakukan demi kepentingan politik bukan sahaja oleh Khalil tetapi oleh ramai lagi walaun dan walauntit

Dengan itu, di wajah Menteri Pendidikan ini terlukislah wajar kasih sayang manakala di wajah Khalil terlukis wajar keras dan mahu perang.

Ini sekadar pendapat penulis sahaja yang memerhati gelagat manusia.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas