Berita

Keadaan Faisal Halim amat positif selepas pembedahan kedua

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 8 Mei 2024 1:25 PM MYT

PEMAIN sayap sensasi Harimau Malaya dan Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim berada dalam keadaan amat positif selepas menjalani pembedahan kedua selama kira-kira tiga jam semalam.

Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata Faisal Halim, atau turut dikenali sebagai Mickey, menunjukkan reaksi positif sewaktu Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah berangkat menziarahi pemain berusia 26 tahun itu di sebuah hospital swasta di sini, pagi tadi.

Menurut Shahril, Faisal Halim juga sudah boleh makan makanan yang lembut dan mencuba untuk melakukan senaman ringan lazim bola sepak yang menjadi rutinnya sebelum ini.

“Pembedahan kedua berlangsung malam tadi selama tiga jam, hasilnya saya dimaklumkan oleh pakar adalah amat positif. Terima kasih atas doa dari seluruh keluarga bola sepak dan rakyat Malaysia.

“Ketika Raja Muda Selangor menziarahi Faisal Halim pagi ini, beliau dah boleh makan, sesuatu yang yang baik, beliau juga semangat nak bangun dan lakukan senaman bola sepak. Bagi saya (perkembangan) ini sangat membanggakan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Bagaimanapun, Shahril yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berkata beliau difahamkan Mohamad Faisal yang lebih mesra disapa ‘Mickey’ dalam kalangan peminat perlu melalui dua lagi pembedahan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Shahril berkata Mohamad Faisal akan terus mendapat bantuan secukupnya dalam proses pemulihan selepas ini.

“Kita nak terbaik untuk beliau, jadi yang terbaik biasanya kosnya tinggi tetapi Raja Muda Selangor sendiri sudah beri jaminan tidak usah khuatir kerana pihak Istana, Raja Muda sendiri sekiranya perlu akan menanggung kos perubatan,” katanya.

Terdahulu, Tengku Amir Shah yang juga Pengerusi Selangor FC meluangkan masa kira-kira 30 minit menziarahi Mohamad Faisal yang difahamkan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sini.

Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi dalam kenyataan berkata bahagian lecur pada badan pemain kebangsaan itu dapat dibersihkan dengan sangat baik yang dijangka membantu pertumbuhan sel-sel baharu.

Mohd Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan Kota Anggerik berkata beliau berkesempatan menziarahi Mohd Faisal bersama Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ahmad Farhan Fauzi semalam.

Ahad lepas, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal Halim cedera dipercayai disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Beliau disahkan mengalami kelecuran tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas menjalani pembedahan pertama pada Ahad malam, selain pergerakan dan percakapannya turut terbatas.

Pemain yang memenangi gol terbaik pada Piala Asia 2023 di Qatar, Januari lepas itu dijangka tidak dapat beraksi selama minimum lima atau enam bulan, sekali gus terlepas dua perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan bulan depan.

Insiden itu merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dua penyamun di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas.

Serangan terhadap pemain bola sepak negara memasuki episod baharu apabila pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim pula diserang dua lelaki menaiki motosikal yang memecahkan cermin bahagian belakang keretanya menggunakan tukul besi di Johor Bahru, pada Selasa. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas