Berita

Sambutan Tahun Baharu Tamil di Little India memupuk perpaduan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 15 April 2024 12:00 AM MYT

SAMBUTAN Tahun Baharu Tamil yang berlangsung di Little India, Brickfields di sini hari ini lebih istimewa apabila ia dianjurkan hasil kerjasama pelbagai persatuan Tamil dan Hindu utama di negara ini.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara K. Saraswathy berkata acara tersebut yang diraikan bersama perlu diteruskan bagi memupuk persefahaman dalam kalangan masyarakat.

“Acara ini telah dijayakan oleh 40 persatuan Tamil dan Hindu bersama-sama Rukun Tetangga (RT) Brickfields yang berada di bawah kementerian kita (Kementerian Perpaduan Negara),” katanya kepada Bernama pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Tamil yang diadakan berhampiran air pancut utama di Little India, Brickfields hari ini.

Beliau berharap sambutan Tahun Baharu Tamil secara besar-besaran seumpama itu akan diadakan lagi pada tahun hadapan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Klang V. Ganabatirau berkata beliau gembira menyaksikan sambutan itu dianjurkan secara bersama oleh pelbagai persatuan Tamil dan Hindu.

“Seronok menyaksikan semua persembahan tradisional yang ditampilkan oleh anak-anak muda. Saya berbangga kerana generasi muda hari ini mengamalkan dan menghargai nilai-nilai tradisional ini,” katanya.

Presiden Malaysia Hindu Dharma Maamandram A. Radhakrishnan pula berkata persatuan itu sentiasa memberi peluang kepada generasi muda untuk mengambil bahagian dalam acara yang dianjurkan setiap tahun itu.

“Selama lima tahun menganjurkan acara Tahun Baharu Tamil ini, kami turut mempromosikan seni Urumi Mellam kepada generasi muda dan masyarakat,”  katanya.

Menurutnya jumlah pengunjung pada sambutan Tahun Baharu Tamil tahun ini melebihi daripada yang disasarkan oleh persatuan itu, dengan lebih 2,000 orang mengambil bahagian dalam acara yang diadakan dari 2.30 petang hingga 7.30 malam.

Radhakrishnan turut berterima kasih kepada penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran atas persefahaman dan toleransi mereka.

“Kami juga telah meminta kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menjadikan Tahun Baharu Tamil ini sebagai perayaan utama komuniti India di negara ini.

Menurutnya ini kerana ia boleh membantu meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara berikutan bilangan pelancong yang menyertai perayaan itu setiap tahun.

Radhakrishnan berkata sambutan Tahun Baharu Tamil yang lebih besar dijangka dianjurkan tahun depan.

Sambutan yang disertai oleh semua lapisan masyarakat itu dianjurkan hasil kerjasama antaranya oleh Malaysia Hindu Sangam, Hindu Sevai Sangam dan Hindu Dharma Maamandram serta komuniti perniagaan di Brickfields.

Selain mempamerkan barangan warisan Tamil, pelbagai aktiviti tradisional serta tarian turut ditampilkan pada acara hari ini iaitu Uri Aditthal, Mayil Attam, Kollatam, Urumi Mellam dan Silambam.

Acara itu turut disertai ramai pelancong dari Sweden, Australia, Jerman dan Amerika Syarikat. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas