Agama

Kepercayaan karut bawa perbuatan khurafat

- Diterbit 4 April 2024 3:48 PM MYT

MENJELANG 10 malam terakhir di bulan Ramadan merupakan waktu yang menjanjikan malam lebih baik daripada seribu bulan di mana pada saat inilah umat Islam berlumba-lumba mempertingkatkan ibadah demi merebut keistimewaan malam Lailatul Qadar.

Dalam mengejar ibadah, pada setiap 27 Ramadan ini umat Islam khususnya di Malaysia juga tidak ketinggalan menghidupkan semula tradisi zaman-berzaman iaitu malam tujuh likur dengan memasang pelita di sekitar kawasan rumah dan kejiranan.

Namun, masih terdapat segelintir masyarakat yang percaya bahawa pemasangan pelita tersebut bertujuan untuk memudahkan malaikat masuk ke dalam rumah atau sebagai penunjuk jalan kepada roh si mati untuk pulang ke rumah.

Mengulas lanjut berkenaan perkara tersebut, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan berkata perbuatan memasang pelita itu seharusnya tidak dikaitkan dengan kepercayaan tersebut sebaliknya ia hanyalah bertujuan untuk memeriahkan suasana 10 malam terakhir bagi menyambut hari raya yang bakal menjelang tiba.

“Malam tujuh likur ini telah berlaku sejak zaman-berzaman namun tidak dinafikan terdapat segelintirnya yang masih percaya bahawa memasang pelita ini berkait dengan menunjukkan jalan kepada malaikat dan roh si mati untuk menuju ke rumah.

“Kepercayaan ini tidak ada asasnya dalam agama Islam dan sememangnya ia adalah kisah dan kepercayaan karut yang telah direka. Jika terdapat mana-mana individu yang percaya akan perkara ini, kita bimbang ia akan merosakkan akidah,” katanya.

Beliau berkata amalan malam tujuh likur yang berkait dengan menghidupkan dan meningkatkan amal ibadah serta memasang pelita adalah dibolehkan selagi berkait dalam kerangka memeriahkan 10 malam terakhir atau persediaan menyambut ketibaan Aidilfitri.

“Malam tujuh likur merupakan adat kepercayaan masyarakat Melayu dan secara tradisinya ia adalah untuk memeriahkan persiapan raya dengan menyalakan pelita di sepanjang jalan perumahan, menyerikan suasana bersama jiran tetangga melalui aktiviti gotong-royong di samping kanak-kanak bermain bunga api.

“Selagi mana ia tidak berkait dengan kepercayaan karut dan bertujuan untuk memeriahkan suasana, ia dibolehkan namun jika ia bertentangan dengan Islam, bimbang kepercayaan itu boleh membawa seseorang kepada perbuatan khurafat atau mensyirikkan Allah dan perbuatan tersebut harus ditinggalkan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengambil kesempatan menyeru umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan untuk bersama-sama mengimarahkan bulan Ramadan yang berbaki beberapa hari sahaja lagi dengan melaksana­­kan pelbagai amalan kebaikan termasuk ibadah yang dapat menggandakan pahala.

“Rebutlah peluang di bulan Ramadan ini untuk memperbaiki tingkah laku serta amal ibadah misalnya solat berjemaah dan tarawih di masjid atau surau selain membaca tadarus Al-Quran dan Qiamulail.

“Dalam masa yang sama, kita juga perbanyakkan sedekah dengan memberi makan kepada orang yang berpuasa serta di samping mendoakan saudara yang sedang diuji di Gaza agar terus dikurniakan kesabaran dan kemenangan.

“Insya-Allah apabila semua perkara ini dapat dilaksanakan, Allah akan memberikan sebuah hadiah iaitu takwa di mana kita sentiasa melakukan perkara yang baik dan tinggalkan perkara yang dilarang,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas