Artikel

Menanti tiba fajar Aidilfitri

- Diterbit 8 April 2024 1:00 PM MYT

BEBERAPA hari lagi, dijangka Rabu 10 April, umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tibalah detik gembira menyambut 1 Syawal setelah sebulan menahan lapar dahaga dan godaan hawa nafsu ketika menunaikan ibadah puasa.

Kawan-kawan Kedai Kopi ucapkan Selamat Hari Raya kepada para pembaca ruangan ini, warga Wilayah Persekutuan atau di mana jua anda berada dengan harapan sambutan tahun ini lebih bermakna daripada tahun-tahun sebelumnya.

Kerana masih ada beberapa hari menjelang lebaran, kawan-kawan Kedai Kopi percaya ramai sibuk membuat persiapan. Ada yang masih mencari pakaian baharu untuk keluarga, membuat kuih muih atau membeli ‘kuih tunjuk’.

Pergi sahaja ke bazar Aidilfitri atau pusat beli belah, pelbagai jenis pakaian berharga rendah, sederhana dan mahal semua ada. Begitu juga terdapat bermacam-macam ‘kuih tunjuk’. Asal ada wang, tunjuk sahaja yang berkenan untuk dibawa pulang.

Ramai juga yang tekad menunggu sehingga malam raya untuk membeli pakaian atau kuih di bazar Aidilfitri. Ini kerana biasanya pada waktu ini pakaian, kuih dan segala jenis biskut dijual pada harga runtuh untuk menghabiskan stok.

Penjual tidak terlalu berkira mengenai harga asalkan barang habis dijual dan ada sedikit untung. Pendek kata pada malam raya suasana memang meriah, bagai pra-hari raya. Para peniaga saling berteriak bersahut-sahutan mempromosikan jualan.

Ketika ramai ramai berpusu-pusu memenuhi bazar Aidilfitri, yang di rumah tidak kurang sibuk memasak makanan dan lauk-pauk, memasak rendang atau merebus ketupat untuk sajian keluarga serta para tetamu pada pagi hari raya. Cuma sekarang sudah jarang terdapat ketupat dibuat sendiri menggunakan janur kelapa. Semuanya ketupat segera.

Dalam keriangan menyambut lebaran, harapan kawan-kawan Kedai Kopi ialah jangan boros berbelanja, baik ketika membeli pakaian atau kuih-muih. Sebagaimana kita seharusnya berjimat pada bulan puasa, teruskan amalan ini pada bulan Syawal.

Beli menurut keperluan. Usah guna alasan sambutan hanya setahun sekali untuk mewajarkan belanja berlebihan. Tidak perlu membeli banyak pasang pakaian, beli sekadar yang perlu. Malah ramai yang menggunakan pakaian tahun-tahun sebelumnya yang masih elok untuk menjimatkan belanja.

Begitu juga membeli kuih. Jangan gelap mata apabila ke bazar Aidilfitri. Ambil sekadar yang difikir mencukupi untuk keperluan keluarga dan tetamu yang berkunjung. Ingatlah berjimat itu amalan yang baik. Jangan sampai selepas hari raya poket kosong!

Balik kampung merupakan amalan tradisi bagi anak-anak di perantauan. Mereka berduyun-duyun kembali ke kampung halaman untuk meraikan hari lebaran bersama keluarga, sanak saudara dan rakan-rakan.

Malah kawan-kawan Kedai Kopi rasa waktu ini pun sudah ada yang memulakan perjalanan balik kampung dengan mengambil cuti awal. Langkah ini boleh mengelakkan daripada tersangkut dalam kesesakan lalu lintas.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas