Berita

Viral! Kebab Pasangan Pekak, Bisu Makin Laris!

Hidayah|SALAHUDIN dan Hidayah tidak menganggap kekurangan yang ada sebagai penghalang untuk mencari rezeki.|KEBAB ayam dan daging mendapat sambutan ramai
- Diterbit 10 November 2020 11:49 PM MYT

SEMENJAK tular dalam media sosial, kebab yang dijual pasangan suami isteri, orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu semakin laris.

Muhamad Salahudin Yaacob,28, dan isterinya Nurul Hidayah Kamaruzaman,29, telah membuktikan bahawa kekurangan yang ada bukan penghalang untuk pasangan ini mencari rezeki meskipun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19.

GAMBAR yang tular di media sosial ini membantu meningkatkan jualan kebab Salahudin dan Isterinya, Hidayah

“Alhamdulillah.. belum sampai sebulan jual kebab, kami bersyukur niat kami mencari rezeki untuk keluarga dipermudahkan sehinggakan ada satu masa kami tidak menang tangan.

“Walaupun COVID-19 sangat memberi kesan kepada kehidupan kita terutamanya dari segi pendapatan, namun kami tidak boleh berputus asa demi anak-anak.

“Jadi mempromosi kebab dalam media sosial adalah salah satu cara kami untuk menarik pelanggan merasa kebab kami,” katanya kepada Wilayahku.

SALAHUDIN dan Hidayah tidak menganggap kekurangan yang ada sebagai penghalang untuk mencari rezeki.

Salahudin sebagai ketua keluarga juga mengaku dia bertanggunggjawab untuk memastikan yang terbaik buat isteri dan anak-anak. 

“Impian saya selain mahu memberi pelajaran untuk anak-anak, saya merancang mahu membeli rumah sendiri dan menghantar orang tua menunaikan umrah.

“Jadi saya perlu teruskan menjual kebab yang merupakan makanan masyarakat Arab yang semakin diminati di Malaysia,” katanya lagi.

KEBAB ayam dan daging mendapat sambutan ramai

Salahudin dan isterinya kini mahu fokus membesarkan tiga orang anak mereka iaitu Muhamad Ammar Mishari,4,  Muhamad Anas Mishari,2, dan Nur Aqilah Maisarah berusia setahun.

Terdahulu menerusi gambar yang tular, pasangan ini memohon agar orang ramai membeli kebab yang dijual melalui cash on delivery (COD) iaitu menghantar terus ke rumah pelanggan.

“Assalamualaikum. Saya Salahudin dan Hidayah. Seorang pekak dan bisu. Kami jual kebab daging dan kebab ayam.

“Mula berniaga pukul 4 petang sampai 10 malam. COD area KL dan Selangor,” katanya yang memulakan perniagaan kebab pada akhir Oktober baru-baru ini. 

Sesiapa yang ingin membeli kebab pasangan ini bolehlah hubungi melalui aplikasi WhatsApp 013-8077606 dan 011-63927006.

Selain itu, anda boleh layari media sosial Facebook mereka, Muhamad Salahudin dan Nuhida Rulyah. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas