Berita

Mary terima gerai penjaja bergerak

- Diterbit 10 November 2020 10:42 AM MYT

KISAH Nurjahan Mariamah Abdullah, 45 atau lebih dikenali sebagai Mary yang tular di media sosial atas kegigihannya menjaja nasi lemak menggunakan troli mendapat perhatian Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa yang tampil menyumbangkan gerai penjaja kepadanya hari ini.

Beliau yang sebelum ini bekerja sebagai tukang cuci menjadi mangsa pandemik COVID-19 sehingga diberhentikan kerja pada Mac lalu dan sejak itu beliau menyara keluarga dengan menjual nasi lemak dan bihun menggunakan troli di sekitar Taman Desa bermula pukul 6.30 pagi sehingga 11.00 pagi.

Menurut Annuar, beliau mengetahu mengenai kisah Mary setelah melihat masalah wanita itu yang tular di laman Twitter.

“Terdahulu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Santhara telahpun turun padang dan bertemu dengan Mary serta membawa laporan kepada saya.

“Melalui kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pihak kerajaan mahu membantu beliau melalui pemberian lesen perniagaan serta geran penjaja bergerak kepadanya agar beliau dapat berniaga dengan betul serta menjaga kebersihan di tempat yang dibenarkan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan gerai penjaja bergerak sumbangan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) kepada wanita itu di Jalan Desa Utama, Taman Desa di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Zaizalnizam Zainun dan Pengerusi YWP Sdn Bhd, Datuk Mustapa Kamal Mohd Yusof.

Annuar yang juga Pengerusi YWP berkata, pihaknya juga turut menawarkan sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka kepadanya.

“Ketika ini beliau terpaksa menyewa sebuah rumah dengan kos kira-kira RM700 sebulan dan melalui penawaran rumah PPR tersebut, ia dapat membantu beliau dalam meringankan beban pendapatan keluarganya.

“Dengan sumbangan ini, kami harap beliau boleh berniaga dengan baik, pendapatannya juga dapat bertambah dan beliau sekeluarga dapat melalui tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan lebih baik lagi,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas