WK2

Unit Berkuda PPj simbol kemegahan Putrajaya

||NOR AZMAN ketika meninjau kuda di kandang.||UNIT berkuda PPj ketika sesi latihan
- Diterbit 14 Januari 2022 4:51 AM MYT

DI negara Eropah seperti United Kingdom, pengawal berkuda berbaju merah yang dikenali sebagai Horse Guards merupakan salah satu tarikan utama kepada aktiviti pelancongan negara tersebut sejak zaman berzaman.

Lokasi yang sarat dengan sejarah tersendiri itu adalah hentian wajib dituju jika berada di kota London. Bukan sahaja berpeluang mengabadikan potret tetapi jika bernasib baik, pelancong juga dapat melihat sesi pertukaran pengawal yang ditugaskan ke Buckingham Palace.

Ternyata di luar negara pengawal berkuda bukan sahaja sekadar untuk tarikan pelancongan semata-mata bahkan ia turut memberi manfaat yang besar dalam sistem keselamatan sesebuah negara tersebut.

Sama seperti di pusat pentadbiran kerajaan Persekutuan Putrajaya, Unit Berkuda Perbadanan Putrajaya (PPj) merupakan salah satu kemegahan bandaraya tersebut selain dijadikan salah satu elemen pencegahan jenayah.

Memiliki kekuatan anggota seramai 20 orang yang diketuai Inspektor Kanan Nor Azman Abdul Rahman selaku komandan, unit ini ditubuhkan pada 6 Jun 2007 dan secara rasminya beroperasi pada 2008.

Bertempat di Kompleks Unit Berkuda Putrajaya, Presint 15, kompleks yang berkeluasan 4.5 hektar ini dilengkapi fasiliti dan kemudahan latihan seperti 70 kandang kuda, paddock, padang ragut dan tempat rawatan kuda selain turut diguna sama Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) PDRM.

NOR AZMAN

Menurut Inspektor Kanan Nor Azman Abdul Rahman, fungsi utama unit, selaras dengan imej Putrajaya sebagai Bandar Dalam Taman antaranya rondaan berkuda di tempat tumpuan awam seperti taman dan tasik serta kawalan orang ramai semasa acara rasmi anjuran PPj dan agensi kerajaan.

“Untuk rondaan, penggunaan unit berkuda amat penting kerana ia membabitkan kawasan yang tidak dapat dihampiri dengan kenderaan khususnya seperti di taman-taman awam, tasik dan kawasan yang sesak dengan pengunjung dan sebagainya.

“Jika ketika rondaan tersebut terdapat sebarang kejadian jenayah, anggota sedia bertindak berdasarkan keadaan semasa. Namun dalam masa yang sama, mereka juga akan memberitahu pasukan untuk menghantar bantuan.

“Selain daripada rondaan keselamatan, kemunculan kita juga berkait rapat dengan aktiviti pelancongan yang mana kebiasaannya pelancong sentiasa tertunggu-tunggu untuk bergambar bersama kuda,” ujar beliau.

NOR AZMAN ketika meninjau kuda di kandang.

Kata beliau lagi, unit berkuda PPj juga turut terlibat dalam acara atau majlis rasmi anjuran PPj dan agensi kerajaan selain daripada menyertai acara rasmi seperti perbarisan, kawad dan sukan ekuestrian.

“Kita juga banyak mencipta nama dalam kejohanan serta pernah mencatat nama dalam The Malaysia Book Of Records kerana berjaya menganjurkan Putrajaya Horse Show 2019 sekali gus mendapat pengiktirafan sebagai Karnival Ekuin Terbesar di Malaysia.

“Dalam aktiviti sukan pula, Kejohanan Show Jumping EAM Digitalisation pada November 2020 menyaksikan pencapaian yang baik bagi kuda dan angggota baru apabila berjaya menduduki tempat keempat, kelapan dan ke-10 serta ke-11 bagi acara dressage,” ujar beliau lagi.

Terbaharu, Unit Berkuda PPj turut menganjurkan pertandingan Ekuestrian Badan Beruniform Perbadanan Putrajaya 2021 pada 20 dan 21 Disember 2021 yang melibatkan penyertaan
agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Angkatan Pertahanan Awam(APM).

Mengulas lanjut, menurut Nor Azman, tidak lengkap kiranya unit berkuda di bawah seliaannya itu tanpa kehadiran kuda dari baka yang terbaik serta sesuai dengan tugasan yang ditetapkan.

“Jika untuk keperluan kerja rondaan misalnya, kita gunakan kuda dari baka Criollo sementara untuk acara sukan ekuestrian, kita perlu mencari kuda yang lasak dan juga kelihatan cantik semasa acara lompatan seperti baka Warmblood dari Eropah,” ujar beliau.

Tambah beliau lagi, sehingga kini keseluruhan kuda yang ada di bawah unit beliau adalah sebanyak 25 ekor yang mana perolehan pertama kuda sebanyak 15 ekor adalah baka jenis Thoroughbred dari
Australia pada tahun 2010.

“Perolehan terkini enam ekor kuda iaitu adalah baka Quarter Horse selain baka Arab pada tahun 2021 yang datang dari dalam negara iaitu dari D’Zahra, Arabian Park, Bachok, Kelantan. Biasanya kita beli dari luar negara tetapi pada masa itu dari dalam negara berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik COVID-19.

“Antara baka yang kita miliki adalah Quarter Horse, Criollo dan Warmblood yang mana kebiasaannya harga seekor kuda dalam lingkungan harga RM40,000 hingga RM90,000,” ujar beliau yang mengakui apabila sampai satu tahap tidak digunakan lagi, kuda tersebut akan dilupuskan.

UNIT berkuda PPj ketika sesi latihan

CABARAN URUS KUDA

TERNYATA pengurusan kuda bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Pelbagai cabaran terpaksa dilalui Unit Berkuda PPj dalam memastikan perkara-perkara berkaitan kuda seperti pelaksanaan jadual pemakanan, jadual tugas dan latihan dipantau agar dapat berkhidmat sebaiknya.

“Penjagaan makanan, tempat tinggal dan persekitaran sangat penting supaya kuda sentiasa dalam keadaan sihat. Perkara-perkara yang berkaitan kuda akan berkait antara satu sama lain. Contohnya jika makan tak cukup, ia akan sakit atau tidak mahu menjalankan tugas.

“Setiap hari, kuda-kuda ini akan diberi makan sebanyak lima kali sehari mengikut waktu yang ditetapkan, jumlah hidangan  dan kuantiti yang berbeza. Antara makanannya ia adalah horse cube, chaff, bran dan garam,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau lagi, kuda perlu sentiasa ditunggang dengan keanggotaan yang ada supaya sentiasa bersedia untuk tugas rondaan berkuda.

“Anggota perlu melatih kuda agar dapat menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran terutama apabila perlu menyertai sesuatu acara besar seperti perarakan berkuda. Selain itu, risiko kecederaan kepada anggota sewaktu latihan juga berisiko besar terutama bagi pertunjukan.

“Untuk mengelakkan perkara tersebut terjadi, maka anggota perlu sentiasa meluangkan masa dengan kuda mereka untuk keserasian. Selain memberi makan serta memandikannya, mereka juga perlu menatarias kuda tersebut,” ujarnya kepada Wilayahku. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas