WK2

Imaduddin mahu bawa unit berkuda PPj ke luar negara

|||UNIT berkuda PPj berpotensi ke hadapan||IMADUDDIN bersama kuda di bawah jagaannya.
- Diterbit 14 Januari 2022 7:28 AM MYT

PEMBANTU Penguatkuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) yang juga merangkap anggota berkuda PPj, Mohamad Imaduddin, 29, menyimpan hasrat untuk membawa unitnya memenangi kejohanan
berkuda di luar negara.

Dia yang merupakan atlet berkuda sebelum ini berbesar hati kerana berpeluang untuk menyertai unit tersebut pada tahun 2014 dan pernah mendapat tempat pertama dalam kategori Preliminary dan tempat kedua kategori Novice pada Pertandingan Ekuestrian Badan Beruniform Perbadanan Putrajaya 2021 pada 20 dan 21 Disember lalu.

“Saya nak pastikan unit berkuda PPj berjaya mengharumkan nama di luar negara dalam tempoh sekurang-kurangnya dua tahun akan datang.Saya lihat unit ini sangat berpotensi tinggi. Ini merupakan cita-cita saya sejak kali pertama berada dalam unit ini,” ujarnya yang pernah menyertai kejohanan SUKMA 2012.

IMADUDDIN bersama kuda di bawah jagaannya.

Bercerita lanjut tentang pengalaman bersama kuda, Imaduddin berkata kuda adalah haiwan yang amat memahami perasaan tuannya.

“Kalau kita ada masalah dan berada dalam keadaan serabut, ia tidak akan dengar cakap serta arahan yang kita berikan selagi kita tidak bertenang,” ujarnya yang biasa menggunakan kuda bernama Tucu untuk membuat rondaan ketika bekerja.

Menjadi salah satu anggota harapan dalam sebarang kejohanan ekuestrian unitnya, dia turut
memiliki kuda sesuai bernama Cyranoz yang berasal dari Belgium .

UNIT berkuda PPj berpotensi ke hadapan

“Saya juga terlibat ketika proses membawa Cyranoz dari Belgium ke Malaysia. Untuk memastikan kami serasi bersama, saya banyak menghabiskan masa dengannya lebih-lebih lagi jika ingin menyertai sebarang kejohanan. Kuda ini dia manja kalau kita selalu dengan dia malah kalau kita tinggalkan dia dalam tempoh dua minggu tanpa sebarang latihan dia akan mudah lupa gerakan yang kita ajar,” ujarnya.

Berkongsi kisah pahitnya pula, anggota serba boleh yang pernah memenangi tempat pertama kategori individu dalam Penang Turf CLub 2015 ini berkata, dia pernah terjatuh dari kuda dan tidak sedarkan diri.

“Sedar-sedar rupanya saya sudah pun berada di hospital. Biarpun mengalami kecederan di bahagian kaki namun saya tidak pernah sesekali serik untuk bermain kudajauh sekali meletakkan noktah dalam kerjaya ini. Jiwa saya sudah sebati dengan kuda sejak dari kecil lagi,” ujarnya kepada Wilayahku. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas