Berita

Umat Islam di Malaysia mula berpuasa esok

- Diterbit 23 April 2020 12:29 PM MYT

PUTRAJAYA – Seluruh umat di Malaysia mula menjalani ibadah puasa esok, demikian diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sebentar tadi.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Mulia Raja-Raja, maka dengan ini saya mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ialah pada Jumaat 24 April 2020,” kata beliau dalam pengumuman yang disiarkan secara langsung di seluruh negara.

Bagaimanapun, malam 1 Ramadan 1441 Hijrah menyaksikan perbezaan apabila tiada solat fardu dan solat sunat tarawih dijalankan secara berjemaah di masjid-masjid dan surau ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di beberapa kawasan.

Majlis berbuka puasa secara beramai-ramai juga tidak diadakan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda seluruh dunia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas