Berita

Tingkatkan jihad, istiqamah perangi Covid-19

- Diterbit 23 April 2020 12:59 PM MYT

PUTRAJAYA – Sesuai dengan Ramadan sebagai bulan perjuangan, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru seluruh rakyat agar tingkatkan jihad dan beristiqamah dalam memerangi penularan wabak Covid-19.

Dalam perutusan khasnya, Perdana Menteri menegaskan, negara ini masih belum menang dalam perang menentang Covid-19 namun beliau yakin kemenangan dapat dicapai kelak.

“Yang penting ialah jihad dan istiqamah. Sempena bulan Ramadan yang mulia ini, tingkatkan jihad kita memerangi Covid-19. Teruslah istiqamah dengan usaha kita.

Tak mengapa Ramadan kali ini kita tak pergi ke bazar Ramadan. Tak makan nasi beriaani, murtabak atau juadah kuih-muih yang kita suka. Yang penting kita selamat daripada wabak Covid- 19,” kata beliau dalam ucapan yang disiarkan secara langsung di seluruh negara malam ini.

Muhyiddin mengajak rakyat khususnya umat Islam agar melihat suasana baharu Ramadan itu secara
positif dan ia  mungkin  peluang yang Allah berikan untuk mengamalkan sebenar-benar ibadah puasa.

“Kita berbuka puasa dan bersahur sekadarnya. Makan masakan isteri kita dan tidak membazir. Kalau masakan tak jadi pun tak apa. Boleh post dalam grup Facebook ‘Masak Apa Tak Jadi Hari Ni’.

“Tak mengapalah kita tak dapat mendirikan solat tarawih secara berjemaah di masjid. Mungkin ini peluang yang Allah SWT berikan kepada kita untuk berjemaah bersama keluarga di rumah.

“Jika tidak sekarang, bila lagi. Kita jadi imam, anak dan isteri jadi makmum. Insya-Allah, ganjaran pahala dan barakah yang kita terima tidak kurang besarnya,” katanya.

Apa yang penting, Perdana Menteri berkata, umat Islam perlu melalui jihad ini bersama-sama seperti bulan Ramadan di akhirnya adalah kemenangan buat semua dalam melawan hawa nafsu.

“Kita berdoa ke hadrat Allah SWT mudah-mudahan di akhir jihad kita melawan Covid- 19, kita juga akan diberikan kemenangan, kesihatan dan keselamatan daripada wabak penyakit ini.

“Mudah-mudahan bulan Ramadan yang mulia ini akan membawa rahmat kepada kita semua. Banyakkan berdoa kepada Allah, mohon pertolongan daripada-Nya, Insya-Allah kita semua akan dilindungi daripada sebarang musibah, amin ya rabbal alamin,” katanya.

Kepada frontliners yang akan berpuasa dalam keadaan menjalankan tugas, Perdana Menteri berharap mereka terus tabah.

“Insya-Allah, pengorbanan anda semua akan diberikan ganjaran oleh Allah SWT.

“Saya dan seisi keluarga mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada semua umat Islam di negara ini dan di mana jua anda berada,” katanya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas