Berita

UISU, UM meterai MoU berkaitan pembangunan Komuniti 5.0

- Diterbit 3 Mac 2023 4:57 AM MYT

UNIVERSITI Malaya (UM) bersama Universitas Islam Sumatera Utara (UISU) telah menandatangani sebuah memorandum persefahaman (MoU) menerusi Program Perbincangan Antara Delegasi Alumni UM (Indonesia) dan Pusat Perhubungan Antarabangsa (IRC) UM berkaitan pembangunan Komuniti 5.0.

Menurut Ketua Bidang Dakwah Islamiyah, Pengurus Yayasan UISU Medan, H.Ikrom Helmi Nasution, semangat persahabatan mendorong pihaknya untuk terus istiqamah dalam menjalinkan hubungan yang lebih erat.

“Semangat persahabatan yang terjalin sejak bertahun lama khususnya dalam seni sukan pingpong antara Kuala Lumpur dan Medan Indonesia menerusi acara sukan sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) setiap tahun telah mendorong pihaknya untuk terus istiqamah menjalinkan hubungan yang lebih erat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosialnya.

Tambahnya, kelainan pada kali ini adalah Program Lawatan Delegasi dari UISU selama lima hari ke Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 8 hingga 12 Februari 2023 telah diketuai oleh beliau sendiri.

“Delegasi juga berkesempatan mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Indonesia (KBRI) bertempat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 10 Februari 2023 sebelum meneruskan perjalanan ke Putrajaya bagi sesi taklimat di Kementerian Pendidikan Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ikrom Helmi berkata pihaknya juga dibawa menikmati suasana malam ibu kota Malaysia di puncak Menara Kuala Lumpur sambil makan malam bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mahadi Che Ngah.

“Sebelum melabuhkan tirai pada akhir sesi lawatan, delegasi turut berpeluang merasai kayuhan berbasikal di Dataran Merdeka serta menikmati alunan muzik jalanan di Jalan Tengku Abdul Rahman (TAR) bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur sebelum kembali ke Medan, Indonesia.

“Kunjungan kali ini telah membuahkan aspirasi yang sungguh bermakna bagi kedua-dua negara dalam usaha mencetuskan idea yang tuntas serta kemaslahatan umah di masa hadapan,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas