Berita

Penjawat awam bermasalah tidak terima ‘habuan’

- Diterbit 6 Mei 2024 2:44 PM MYT

PENJAWAT Awam yang bermasalah tidak akan mendapat habuan yang sama dalam kenaikan gaji yang diumumkan baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap jabatan untuk mengawal dan mengenal pasti kakitangan bermasalah di jabatan masing-masing yang merosakkan nama baik penjawat awam.

“Ada yang pertikai, kalau di sekolah, mungkin lebih 90 peratus guru menjalankan tanggungjawab, (namun) ada guru yang cuai, ada yang kadang-kadang tidak hadir, begitu juga masalah di jabatan, ada golongan kecil rasuah, tidak datang kerja, pelbagai masalah, apakah kita harus beri layanan yang sama?

“Saya jawab tidak, kita tidak akan beri layanan yang sama, jadi sementara kita berikan satu anjakan radikal daripada segi pengikitrafan dan habuan kepada penjawat awam, saya minta saudara (penjawat awam) untuk mengawal sendiri dan jabatan, kenal pasti orang yang merosakkan nama baik penjawat awam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), hari ini.

Tambah Anwar, kerajaan mengambil keputusan berani dan untuk menaikkan gaji penjawat awam biarpun situasi ekonomi negara masih belum stabil.

“Jika mengikut pertimbangan dan teori ekonomi, semua kenaikan gaji sewajarnya ditangguhkan sehingga ekonomi lebih stabil, maknanya hutang (negara) kurang.

“Tetapi saya lihat dari segi MADANI, ihsan, kemanusiaan, tahap kecekapan, kemampanan, bagaimana boleh kita bebankan kepada penjawat awam, kesalahan yang bukan semuanya berpunca dari mereka, kadang-kadang dari segi pengurusan dan kecuaian oleh pihak lain.

“Jadi kita pertimbangkan itu, tak boleh dibebankan, dan ada kewajaran kita sebagai bapa dalam keluarga besar, kerajaan harus beri pertimbangan, itulah sebabnya mengapa kita ambil keputusan yang berani,” ujarnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas