Berita

Program Gerak Rahmah 2023 bangunkan komuniti setempat

||
- Diterbit 3 Mac 2023 5:28 AM MYT

INISIATIF Program Gerak Rahmah 2023: Jom Sihat yang dianjurkan adalah bertujuan memperkasa, mempertingkat dan mempergiatkan aktiviti-aktiviti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) ke arah membangunkan Komuniti Rahmah.

Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) berkata program yang diadakan serentak melibatkan semua KRT di seluruh negara ini turut melibatkan kolaborasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Antara objektif penganjuran program ini adalah untuk membangunkan Komuniti Rahmah selaras dengan konsep ‘Malaysia Madani’ melalui pelbagai aktiviti berimpak tinggi untuk meningkatkan kesejahteraan dan keharmonian komuniti khususnya komuniti KRT.

“Selain itu, ia bagi menggerakkan komuniti KRT di seluruh negara secara bersepadu dan menyeluruh untuk melaksanakan Program Gerak Rahmah di peringkat komuniti masing-masing serta memperkasa dan memperkukuhkan lagi peranan KRT dalam komuniti khususnya dalam membantu kerajaan membina Malaysia Madani,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Tambahnya, program tersebut diadakan secara serentak melibatkan semua KRT di seluruh negara dan bermula pada pukul 8 pagi dengan aktiviti senaman manakala pengisian adalah mengikut kesesuaian serta keperluan lokaliti masing-masing.

“Antara pengisian program yang diadakan di Putrajaya bertempat di KRT Fasa 11, Presint 9 adalah Senam Harmoni; Aktiviti 10,000 Langkah; Kuiz Kesihatan; Treasure Hunt Kesihatan; Indoor Games; Pemeriksaan Kesihatan; Pameran Kesihatan; Ceramah Kesihatan dan Sumbangan Bakul Rahmah.

“Manakala Program Jom Sihat adalah merupakan salah satu daripada Agenda Kerja KRT atau RT4ALL iaitu di bawah GERAK KERJA KRT SIHAT dan digariskan dalam teras kedua, Pelan Pemerkasaan Kepimpinan Komuniti Rukun Tetangga 2021-2030,” ujarnya.

Dalam pada itu, JPNIN turut berharap semua KRT di seluruh negara yang berjumlah sebanyak 8,348 untuk bersama-sama menjayakan Program Gerak Rahmah ini yang mana dengan adanya gerakan secara bersepadu ia akan meningkatkan lagi semangat mereka untuk melaksanakan aktiviti di peringkat komuniti masing-masing serta dapat mewujudkan persaingan yang sihat dalam meningkatkan keaktifan KRT.

Terdahulu, Program Gerak Rahmah 2023: Jom Sihat peringkat Putrajaya telah dirasmikan oleh Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Putrajaya, Dr Zainal Abu Bakar. Turut hadir Pengarah JPNIN Putrajaya, Ruzylawati Mustapha Kamar. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas