Berita

Tukun terbesar dunia bakal diletakkan di Pulau Layang-Layang, Labuan

SEORANG penyelam memasang tukun tiruan di dasar perairan Pulau Layang-Layang, Labuan.
SEORANG penyelam memasang tukun tiruan di dasar perairan Pulau Layang-Layang, Labuan.
- Diterbit 12 Julai 2019 12:07 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Kelab Legasi Selam Skuba Malaysia atau dikenali sebagai Kelab Leges Divers membuat percubaan memecahkan rekod dunia apabila meletakkan 1,007 tukun tiruan dalam usa­ha memulihara karang laut di Pulau Layang-Layang, Labuan.

Menurut Naib Pengerusi­nya, Asamuddin Abu Hasan, projek pemuliharaan karang itu merupakan sebahagian daripada program tanggung­jawab sosial korporat (CSR) bagi pemuliharaan pulau-pulau di negara ini.

“Program ini juga merupa­kan percubaan untuk memecahkan rekod dalam The Guinness World Records Attempting For The Placement Of Largest Artificial Reef bagi pemuliharaan karang yang diadakan di Pulau Layang-Layang pada 16 hingga 21 Jun lalu,’’ katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

“Antara program penjagaan dilakukan ialah pemantauan terumbu, pemulihan terumbu, pemulihan dan pembersihan pantai pembersihan air, COT (mahkota duri), menyelamatkan penyu, pemerhatian visual dan pemulihan karang,’’ katanya.

Asamuddin berkata, sebelum ini pihaknya telah berjaya memecahkan rekod dalam Malaysia Books Of Records bagi program penanaman karang terbesar pada 16 Julai 2017 dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Taman Laut Pahang.

‘’Rentetan program itu, tercetuslah idea untuk meneruskan aktiviti pemuliharaan pulau-pulau bagi tahun ini,’’ katanya.

Tambah Asimuddin lagi, program tersebut turut mendapat sokongan daripada Perbadanan Labuan (PL), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Penerangan, Jabatan Perikanan, Jabatan Laut, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Labuan Point Hotel.

Kata Asimuddin lagi, untuk program CSR kali ini pihaknya hanya berjaya menurunkan sebanyak 380 tukun sahaja. Baki 644 lagi dibawa pulang dengan Kapal MV Polaris ke Labuan bagi menjalani pro­ses recoating,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas