Berita

Bantu kembali ke sekolah

MOHD SHAHRIZZAT (dua dari kiri) bersama pegawai PPD mendengar masalah seorang pelajar perempuan yang tercicir daripada sekolah ketika membuat lawatan ke rumah keluarganya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
MOHD SHAHRIZZAT (dua dari kiri) bersama pegawai PPD mendengar masalah seorang pelajar perempuan yang tercicir daripada sekolah ketika membuat lawatan ke rumah keluarganya di Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 12 Julai 2019 12:11 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) sentiasa bersedia membantu pelajar tercicir kembali semula bersekolah dan mendapatkan pendidikan sewajarnya supaya mereka mempunyai masa hadapan yang cerah.

Eksekutif Bahagian Pembangunan Komuniti YWP, Mohd. Shahrizzat Sirun berkata, pada masa ini, pihaknya berjaya mengesan sembilan pelajar tercicir di sekitar ibu negara.

“Faktor utama pelajar terbabit tercicir adalah disebabkan masalah ibu bapa, kewangan dan kemiskinan.

“Ada kes yang pelajar ini mempunyai masalah keluarga akibat ibu bapa bercerai, bergaduh dengan adik-beradik dan kena halau keluar. Akibatnya, anaknya tidak ada tempat berteduh dan sukar untuk bersekolah,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Dalam pada itu, Mohd. Shahrizzat berkata, pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Wilayah Persekutuan telah memainkan peranan yang baik apabila berkongsi maklumat berkaitan keciciran pelajar sekali gus memboleh­kan YWP memberi bantuan sewajar­nya.

Jelas beliau, hasil maklumat tersebut, baru-baru ini pihaknya berjaya menjejaki pelajar terbabit dan membuat lawatan ke rumah keluarganya.

‘’Hasil temubual bersama pihak ke­luarga, pelajar tersebut didapati sudah hampir dua tahun tidak bersekolah,’’ katanya.

Dalam hal ini, pihak YWP menya­lurkan bantuan berdasarkan masalah yang dihadapi pelajar terbabit antaranya sumbangan pakaian sekolah, yuran sekolah dan penempatan asrama.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas