Berita

Perangkap sampah jadi penyelamat

PERANGKAP sampah yang dipasang di sungai Batu, Selayang.
PERANGKAP sampah yang dipasang di sungai Batu, Selayang.
- Diterbit 12 Julai 2019 12:05 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KUALA LUMPUR – Umpa­ma ruang tamu. Demikian keadaan kawasan perangkap sampah di Sungai Batu di sini yang dipenuhi pelbagai jenis sampah termasuk sofa dan televisyen.

Selain perabot lama yang dibuang, sungai juga men­jadi tapak pembuangan lampin bayi dan botol-botol plastik serta sisa kedai makan berhampiran.

Malah berdasarkan rekod, botol plastik yang dikutip dianggarkan lebih 1 tan metrik sebulan yang mana jumlah keseluruhan kutipan sampah adalah sekitar 1.3 tan metrik bagi tempoh yang sama.

Ternyata perangkap sampah itu menjadi penyelamat. Jika tidak sudah pasti lembangan sungai di ibu kota menjadi tapak pelupusan sampah.

Menurut Perunding Ri­ver of Life (RoL) POP, Asia Pacific Environmental Consultant, Firdaus Amer Hamzah, jumlah kutipan sampah di Sungai Batu bagi tempoh tiga bulan pertama tahun ini dianggarkan 8,715.40 kilogram (kg).

“Sepanjang tahun lalu pula, jumlah kutipan sampah yang direkodkan adalah 30,217.60 kg.

“Bagi bacaan Indeks Kualiti Air (WQI) pula, Sungai Batu mencatatkan peningkatan bacaan WQI dan berada dalam kelas 3 dengan julat 51.9-76.5 berbanding bacaan sebelumnya pada Oktober tahun lalu yang masih berada di Kelas 4 (julat 31-51.9),” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Pejabat Lembangan Sungai Klang (PLSK), Ir. Dr. Asmadi Ahmad@Hasan berkata, salah satu tugas PLSK adalah menyelenggara aset-aset RoL.

Jelas beliau, di bawah RoL, terda­pat 13 lokasi untuk perangkap (log boom) dan pungut sampah (trash rake) yang meliputi Sungai Batu, Su­ngai Gombak dan Su­ngai Klang.

“Kalau tengok kebanyakan sampah terdiri daripada botol­-botol plastik, kadang-kadang ada playwood dan sofa. Jumlah sampah akan meningkat pada hari hujan,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Menurut Asmadi, pihak kontraktor akan melakukan pungutan sampah di log boom seba­nyak 12 kali untuk tempoh satu bulan.

Ujar beliau, berdasarkan rekod, sebanyak 1.1 hingga 1.3 tan sampah dikutip dalam tempoh sebulan dan jumlah paling banyak adalah botol plastik.

“Berdasarkan dua tahun terkini iaitu 2017 dan 2018, purata berat kutipan sampah meningkat dalam 10 tan iaitu 10,380 kg (2017) kepada 10,588kg (2018).

“Sebab itu saranan kerajaan untuk kita kurangkan penggunaan plastik memang wajar lebih­-lebih lagi plastik tersebut bukan jenis biodegradasi,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas