Agama

Trend #doneterawih: Elak perasaan riak ketika ibadah

- Diterbit 15 Mac 2024 3:51 PM MYT

BEBERAPA tahun kebelakangan ini, tatkala menjelang Ramadan, umat Islam di negara ini seolah-olah berlumba-lumba untuk mengemas kini akaun media sosial dengan gambar mengerjakan solat tarawih diikuti tanda pagar #doneterawih.

Fenomena tersebut kadangkala mendatangkan salah faham sehinggakan terdapat segelintir individu yang memberi persepsi negatif sekali gus menganggap ia hanya sekadar untuk menunjuk-nunjuk.

Mengulas tentang perkara tersebut, Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Jamali Mohd Adnan berkata penggunaan tanda pagar berkenaan tidak salah sekiranya ia mempunyai mesej yang baik dan tidak disalahertikan.

“Dalam dunia digital masa kini, sudah menjadi trend atau content di mana-mana sahaja, jadi bagi saya asalkan niatnya baik misalnya mengajak orang untuk solat tarawih bersama-sama dengan menggunakan tanda pagar #doneterawih, ia boleh dikategorikan sebagai satu dakwah.

“Namun penggunaan akan menjadi salah jika seseorang mempunyai niat untuk riak dalam menunjuk-nunjuk apa yang dilakukan seperti ibadah solat. Kita cuba elakkan inilah yang kita bimbang bahawa dosa yang dilarang Allah SWT. Jangan ada perasaan riak, menunjuk-nunjuk dalam diri melainkan tujuannya untuk menyebarkan kebaikan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau mengharapkan umat Islam menggunakan pengaruh media sosial sebaiknya untuk mengajak ke arah kebaikan terutamanya pada bulan yang penuh berkah ini.

Firman Allah SWT menerusi ayat kedua dalam Surah Al-Maidah menyebut “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksanya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya).”

“Seperti tanda pagar yang sedang menjadi fenomena masa kini iaitu #gengsubuhmacamjumaat oleh penyanyi Alif Satar, ia juga menjadi salah satu dakwah sebagai seorang pempengaruh media sosial yang menyebarkan perkara positif kepada masyarakat.

“Walaupun sibuk dengan kerjaya dalam industri hiburan, namun dia masih mendekatkan diri dengan Allah. Kesimpulannya, ia tidak salah namun cara penggunaan tanda pagar tersebut perlu jelas dengan niat yang murni dan baik,” ujar beliau.

Kedatangan bulan Ramadan kali ini pastinya ditunggu-tunggu oleh umat Islam namun terdapat­ juga yang masih tidak sempat untuk menggantikan puasa pada tahun sebelumnya di atas pelbagai faktor.

“Diharapkan agar umat Islam tidak mengambil mudah mengenai bayaran fidyah (denda) puasa yang wajib dilaksana oleh mana-­mana individu yang telah baligh dan gagal menggantikan puasa Ramadannya pada sesuatu jangka masa sehingga tiba Ramadan tahun berikutnya.

“Dalam Islam, fidyah adalah suatu yang diwajibkan kepada mereka yang meninggalkan puasa wajib atas sebab-sebab tertentu atau pun sengaja melewatkan puasa ganti (qada) pada bulan Ramadan.

“Meskipun fidyah perlu dibayar individu berkenaan namun mereka juga wajib menggantikan puasanya dalam tempoh tahun yang sama atau sebelum Ramadan akan datang,” ujar beliau sekiranya melangkaui tahun atau bulan Ramadan akan datang, mereka perlu membayar fidyah berganda.

Tegas beliau, mereka yang meninggalkan puasa hendaklah segera menggantikannya supaya tidak perlu bayar fidyah berganda dan paling membimbangkan tidak sempat untuk menggantikan puasa kerana tidak tahu bila tibanya ajal.

“Jangan sampai kita berhutang dengan Allah SWT antaranya hutang berpuasa,” ujar beliau. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas