Artikel

Kempen normalisasi hina raja

Kredit foto: Jabatan Penerangan
- Diterbit 22 Mac 2024 9:25 AM MYT

Oleh ZULKIFLI SULONG

EKORAN isu KK Mart yang menjual stoking kalimah Allah,  kempen menghina Raja-Raja Melayu yang tidak bersama dengan pandangan politik pihak-pihak tertentu semakin rancak berjalan.

Beberapa hari lepas, satu mesej yang mempunyai perkataan, ayat dan maksud yang sama  tular di media sosial. Ia disalin dan dikongsi oleh banyak laman-laman akaun media sosial yang dimilki oleh para penyokong dan penggerak pembangkang.

Di bawahnya pula penuh dengan kata-kata nista termasuk yang menghina Raja-Raja Melayu tertentu khasnya yang dilihat tidak bersependapat dengan mereka.

Jika mesej ini hanya satu dan dibuat oleh orang berasingan secara tidak terancang, ia tidak menggusarkan. Sebagaimana perbuatan jelayah yang dibuat oleh individu tertentu tanpa perancangan atau penyusunan.

Namun, jika ia berlaku secara yang sistematik, ia sudah menjadi jenayah terancang yang sudah tentu sepatutnya mendapat perhatian pihak berkuasa kerana ia sangat bahaya.

Begitulah juga dengan mesej dan komen sama yang bertebaran di pelbagai akaun media sosial sekarang. Dengan itu, bolehlah dikatakan, kempen ini sudah menjadi kempen terancang yang dibuat oleh golongan tertentu dengan maksud tertentu.

Ia seolah-olah untuk memaksa atau menekan pihak-pihak tertentu agar menurut kehendak mereka.

Apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong, mesej pertama yang diberikan oleh baginda adalah mahu negara yang stabil dan tidak akan membuka pintu istana kepada mana-mana pihak yang cuba menggugat kestabilan negara.

“Saya ingin tegaskan di sini, saya tidak akan melayan sebarang permintaan yang cuba menggugat kestabilan politik negara.

“Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.

“Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah pilihan raya akan datang,” titah baginda pada istiadat pembukaan penggal ketiga sidang Dewan Rakyat.

Ini adalah titah baginda yang pertama kepada awam selepas mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana, baginda seolah-olah memaklumkan bahawa baginda ‘menutup pintu istana serapat-rapatnya’ daripada menerima sebarang pertemuan untuk menggugat kerajaan yang ada.

Ekoran titah ini, pelbagai pihak telah membuat analisis bahawa, Kerajaan Madani pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ini akan kekal sekurang-kurangnya sehingga habis penggal ini.

Pillar pertama dari tiga pilar utama yang perlu dibuat oleh kerajaan ini telah berjaya dipasak dengan kukuh iaitu kestabilan kerajaan.

(Dua pilar lagi adalah membangunkan ekonomi negara dan yang ketiga menjaga hati majoriti rakyatnya iaitu orang Melayu dan Islam.)

Sejak itu, pembangkang sebenarnya sudah mati kutu. Mereka tidak akan ada peluang mengubah Kerajaan MADANI ini jika pihak istana tidak bersama-sama dengan mereka dalam usaha itu.

Marilah langkah Dubai ke atau Langkah Sheraton II ke, tanpa kerjasama istana, usaha ini sukar untuk berjaya.

Hanya satu usaha yang boleh dibuat sebelum memujuk ahli-ahli Parlimen bersama mereka menumbangkang kerajaan yang ada iaitu ubah sikap dan pendirian Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

Sejak itulah, satu persatu kempen memperlecehkan Raja-raja Melayu berlangsung. Antara kempennya adalah ‘Nabi suruh ikut ulama, bukannya raja’ dan yang terkini ‘Bila jadi isu KK Mart ni baru aku sedar kat Malaysia ni hina raja/Sultan lebih sensitif di mata pemimpin berbanding hina Allah dan Islam ye.’

Ekoran kempen sebelum ini khasnya kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam (MKI) telah bangkit. Baginda telah menghantar surat panjang (5 muka surat) kepada Hadi melalui Pesuruhjaya PAS Selangor.

Selepas itu, tidak semena-mena baginda telah memaklumkan tidak akan lagi menyambung jawatannya sebagai Pengerusi MKI. Menurut sumber yang rapat dengan Sultan Selangor, baginda kecil hati dengan apa yang dilakukan oleh pemimpin dan penyokong PAS itu.

Selepas episod itu, kini datang pula kempen isu stoking yang tertulis kalimah Allah. Kerajaan dan juga raja-raja ditekan seolah-olah tidak bertegas dalam isu ini. Padahal, selepas serbuan dibuat ke gudang syarikat ini di Johor, hanya lima pasang stoking yang serupa sahaja ditemui dari ribuan stoking yang ada dalam gudang itu.

Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN) di dalam Dewan Rakyat telah menegaskan, polis sedang menyiasat kes ini manakala pelbagai agensi kerajaan telah membuat kenyataan mengutuk rangkaian kedai serbanika ini termasuk pemimpin politik dalam kerajaan yang ada sekarang.

Bagi pemimpin bukan Islam, mereka tidak nampak isu ini disengajakan kerana ia berlaku tanpa niat ketika KK Mart sedang berusaha untuk mendaftar syarikat mereka di Bursa Saham.  Ia adalah sabotaj kepada syarikat ini. Oleh itu, bagi mereka,  kempen memboikot KK Mart tidak wajar.

Sehingga kini, sudah dua kali KK Mart membuat permohonan maaf secara terbuka mengenainya termasuk daripada pengerusi dan pengurusan kanan syarikat ini. Mereka juga telah berkata, akan mengkaji tindakan mahkamah terhadap pembekal stoking ini dari China.

Namun isu ini terlalu bersifat emotif. Ia telah ditunggang sepenuhnya untuk digunakan bagi mencapai kehendak mereka. Maka lahirkan kempen  ‘Bila jadi isu KK Mart ni baru aku sedar kat Malaysia ni hina raja/Sultan lebih sensitif di mata pemimpin berbanding hina Allah dan Islam ye.’

Apa tujuannya mengaitkan raja-raja/sultan dengan isu KK Mart ini sehingga Sultan Ibrahim dan anaknya  Tengku Mahkota Johor (TMJ) menyatakan perasaan murka mereka mengenai isu KK Mart ini.

Bagi saya ia adalah kempen terancang menormalisasikan penekanan dan penghinaan kepada Raja-Raja Melayu agar baginda tunduk kepada kehendak mereka.

Itu pandangan saya.

Tulisan ini hanya sekadar pandangan penulis tidak lebih daripada itu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas