Berita

Treler siri BoBoiBoy Galaxy SORI raih dua juta tontonan dalam masa 24 jam

- Diterbit 10 November 2023 10:00 AM MYT

TRELER Siri BoBoiBoy Galaxy SORI yang dipersembahkan oleh MONSTA berjaya mencapai lebih dari dua juta tontonan dalam masa 24 jam selepas dimuat naik di seluruh platform media sosial seperti Youtube, TikTok, Facebook, Instagram dan X.com (Twitter).

Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak berkata treler siri animasi yang bersifat untuk tontonan semua berdurasi hampir dua minit itu turut berjaya menjadi sohor kini di Youtube Indonesia di bawah kategori Filem.

“Kami ingin memastikan para peminat boleh menonton siri ini dengan mudah. Sebab itu kami memilih platform penstriman terkenal seperti NETFLIX dan Youtube, serta televisyen tempatan TV9 untuk siaran pada musim cuti sekolah Disember ini.

“Siri ini juga bakal dieksport ke negara-negara jiran seperti Indonesia, maka satu daripada watak baharu dalam siri BoBoiBoy Galaxy SORI bernama ‘Qually’ telah diberikan suara dalam Bahasa Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan.

Nizam berkata keputusan mewujudkan watak itu dibuat untuk membawa nilai keakraban kepada negara tetangga itu selain sebagai tanda terima kasih kepada peminat tegar dari Indonesia yang tidak berhenti memberi sokongan kepada animasi BoBoiBoy.

Selain itu, MONSTA turut menyatakan komitmen mereka untuk menghidangkan hiburan berkualiti tinggi yang bersesuaian dan selamat untuk tontonan seisi keluarga. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas