Berita

Sambutan Hari Deepavali salah satu jalan membangun Malaysia Madani

Kredit foto: SHUAIB AYOB / WILAYAHKU
- Diterbit 10 November 2023 10:43 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan sambutan Hari Deepavali yang akan disambut merupakan salah satu jalan dalam membangun Malaysia yang madani, hormat menghormati selain memelihara kerukunan antara kaum.

Ujar beliau, kejamakan budaya di negara ini mesti terus dipertahan tanpa diganggugugat oleh mana-mana pihak.

“Sebarang percubaan untuk melemahkan tiang masyarakat ini mesti dipatahkan dengan sikap beserta nilai dan budi pekerti yang tinggi,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar berkata perayaan tersebut merupakan ‘pesta cahaya’ dan ia simbolik kepada kemenangan cahaya ke atas kegelapan, kebaikan atas kebobrokan serta kekuatan ilmu mengatasi kejahilan dan keangkuhan.

Beliau yang memetik ungkapan penyair dan ahli falsafah Tamil, Thiruvalluvar dalam sebuah karya sastera Tamil klasik Thirukural menyebut, bahawa kebahagiaan yang berpunca daripada etika atau tatakelola yang baik merupakan nikmat yang sebenar, dan kegembiraan berpunca daripada sikap yang tidak beretika adalah penderitaan atau tidak membawa kebahagiaan yang mampan)

Perdana Menteri berkata Kerajaan Perpaduan akan memastikan pembangunan sosioekonomi semua rakyat, pengagihan kekayaan yang lebih
saksama dan bantuan kepada yang memerlukan disampaikan dengan lebih tuntas dan cekap.

“Saya akan berusaha bagi memastikan kebajikan dan tahap hidup masyarakat, yakni masyarakat Hindu terutamanya, terus ditambahbaik dan dilindungi. Nikmat dan khazanah negara mesti
dirasai semua secara adil dan saksama,” katanya.- WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas