Berita

TOP 5 SIRI TV NETFLIX YANG WAJIB DITONTON VERSI PKP 2.0

|||||
- Diterbit 16 Januari 2021 12:38 AM MYT

#1 Lupin (Perancis)

Kisah ini menceritakan tentang pencuri profesional Assane Diop (Omar Sy), anak pendatang dari Senegal yang datang ke Perancis untuk mencari kehidupan yang lebih baik untuk anaknya. Bapa Assane telah dihumbankan ke penjara dan membunuh diri di dalamnya atas tuduhan mencuri kalung berlian yang mahal oleh Hubert Pelligrini (Hervé Pierre), majikannya. 25 tahun kemudian, Assane membalas dendam terhadap keluarga Pelligrini menggunakan penyamaran, pencurian dan karisma untuk mendedahkan jenayah Pelligrini. Dia terinspirasi dari penggembaraan seorang pencuri, Arsène Lupin. Siri ini terdiri daripada 10 episod yang dilancarkan dalam dua bahagian ciptaan oleh George Kay dan François Uzan.

#2 Bridgerton (Amerika Syarikat)

Mengisahkan Daphne Bridgerton (Phoebe Dynevor), anak perempuan sulung dari keluarga Bridgerton yang mula memasuki pasaran perkahwinan kompetitif, Regency London. Dia berharap untuk mengikuti jejak ibu bapanya dan mencari pasangan yang dicetuskan oleh cinta sejati. Drama ini menyaksikan pertemuan antara Daphne dan Duke of Hastings yang mula tertarik kepada satu sama lain. Bridgerton adalah siri romantis, skandal, dan kebijaksanaan yang meraikan persahabatan yang abadi, kekeluargaan, dan pencarian cinta yang menaklukkan semua. Berdasarkan novel popular Julia Quinn, yang dihasilkan oleh Chris Van Dusen dan pengarah eksekutif Shonda Rhimes dan Betsy Beers. Drama bersiri ini terdiri daripada lapan episod untuk musim pertama ini.

#3 The Queen’s Gambit (Amerika Syarikat)

Siri mini ini mengisahkan tentang kehidupan seorang pemain catur muda pada pertengahan 1950-an hingga 1960-an di Lexington, Kentucky. Seorang yatim piatu, Beth Harmon (Anya Taylor-Joy), berusaha untuk menjadi seorang pemain catur terhebat di dunia. Harmon tinggal di rumah anak yatim ketika berusia sembilan tahun, tempat bermula ketagihannya terhadap pil penenang. Dia diambil sebagai anak angkat oleh Alma Wheatley dan suaminya dan mula menyertai pertandingan catur. Dia menjalin persahabatan bersama bekas juara negara Kentucky, Harry Beltik (Harry Melling), juara kebangsaan Benny Watts (Thomas Brodie-Sangster), dan wartawan, DL Townes (Jacob Fortune-Lloyd). Dia berjuang dengan masalah emosi dan kebergantungannya terhadap dadah dan alkohol dalam perjalanannya untuk menjadi pemain terbaik dunia. Siri tujuh episod ini berdasarkan novel Walter Tevis, arahan Scott Frank.

#4 Sweet Home (Korea Selatan)

Siri TV dari Korea Selatan ini mengisahkan tentang Cha Hyun-Su (Song Kang) yang merupakan seorang pelajar sekolah menengah yang jarang meninggalkan biliknya. Suatu hari, ayah, ibu dan adik perempuannya maut dalam kemalangan kereta pada hari yang dia enggan keluar mengikuti mereka keluar. Dia ditinggalkan bersendirian dan berpindah ke pangsapuri kecil. Satu fenomena misteri terjadi apabila manusia mula berubah menjadi raksasa di seluruh dunia. Penduduk bangunan pangsapuri itu bangkit untuk berperang melawan raksasa ini bersama-sama. Siri 10 episod ini berdasarkan komik web oleh Kim Kan-Bi dan Hwang Young Chan, arahan Lee Eung-Bok.

#5 Alice In Borderland (Jepun)

Mengisahkan tentang seorang pemuda, Ryohei Arisu (Kento Yamazaki) yang menganggur dan tidak bahagia dalam kehidupannya. Suatu hari, cahaya misteri muncul dan menyebabkan semua orang hilang kecuali Ryohei dan dua rakannya. Tokyo menjadi sunyi sepi dan kosong. Ryohei dan rakannya terpaksa mengambil bahagian dalam satu permainan di mana kehidupan mereka menjadi taruhan. Di dalam permainan itu, Ryohei bertemu dengan Yuzuha Usagi (Tao Tsuchiya). Siri lapan episod ini berdasarkan oleh siri manga ‘Imawa no Kuni no Arisu’ oleh Haro Aso, arahan Shinsuke Sato. – AFIFAH AFIZAL – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas