Berita

Tiga konsep kawasan hijau ibu negara – Annuar

ANNUAR melihat pelan pembangunan di Taman Awam Bukit Kiara.
- Diterbit 14 September 2020 5:35 AM MYT

PEMBANGUNAN kawasan hijau di Kuala Lumpur perlu dilaksanakan berlandaskan tiga konsep utama supaya persekitaran lestari dapat dikekalkan sekali gus memberi kesejahteraan kepada warga kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, tiga konsep yang direncanakan adalah menghargai kawasan hijau dan hutan, rekreasi serta riadah kekeluargaan.

Jelas beliau, konsep kawasan hijau dan hutan akan dilakukan di taman berskala besar (Taman Persekutuan) manakala Taman Lembah Kiara dijadikan trek joging.

“Di Taman Awam Bukit Kiara pula, kita boleh gunakannya untuk aktiviti kekeluargaan seperti perkhemahan hujung minggu atau perkahwinan bertemakan taman (garden wedding).

“Boleh juga buat perlawanan bola sepak untuk kanak-kanak cilik antara tadika-tadika sebab ada mini ‘football pitch’ ataupun boleh buat lain-lain aktiviti yang sesuai untuk satu keluarga,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Pengindahan Taman Awam Bukit Kiara di sini pada Ahad.

Mengulas lanjut, ujar Annuar, kementerian juga akan membina akses baharu selain memperluaskan kawasan taman daripada 13 ekar kepada 18 ekar.

Katanya, langkah yang diambil itu akan menjadikan kawasan lebih cantik berbanding sebelumnya.

Menurut beliau, warga kota juga diseru untuk menanam pokok supaya kawasan hijau dapat ditingkatkan.

“Kalau semua warga wilayah menyahutnya, seorang satu pokok, kita boleh tanam satu juta pokok. Kita boleh jadikan Kuala Lumpur hijau.

“Saya juga telah minta Jabatan Landskap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengindahkan lagi ibu negara dengan memilih spesis pokok, perlu lebih colorful,” ujarnya.

Dalam pada itu, Annuar juga memaklumkan bahawa Pulau Labuan akan dijadikan sebagai Pulau Bougainvillea yang mana ribuan pokok bunga itu akan ditanam bagi mencantikkan persekitaran wilayah berkenaan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas