Berita

KLFA hampiri saingan Liga Super

KLFA menang bergaya 4-1 ke atas TFC II KLFA menang bergaya 4-1 ke atas TFC II
- Diterbit 14 September 2020 1:34 PM MYT

BERBAKI 4 perlawanan Liga Perdana, pasukan Kuala Lumpur FA (KLFA) kini hampir mencapai sasaran yang diletakkan oleh pengurusan tertinggi pasukan untuk layak ke saingan Liga Super musim hadapan.

Namun begitu, KLFA perlu memastikan kemenangan berpihak kepada mereka apabila pertemuan dengan pencabar terdekat mereka pasukan Pulau Pinang di tempat lawan pada 18 September ini.

KLFA dan juga pasukan Pulau Pinang kini terikat dengan 17 mata dengan 7 kemenangan dan 5 seri setelah mengharungi 7 perlawanan liga.

Pasukan bimbingan Ketua Jurulatih, Nidzam Adzha Yusof yang baru saja berjaya menumpaskan pasukan Terengganu II 4-1 minggu lalu dilihat mempunyai motivasi terbaik menjelang pertemuan dengan pasukan dari utara tanah air.

“Buat masa sekarang kita tidak lagi memikirkan kejuaraan, kita cuma mengejar untuk naik ke Liga Super seperti mana yang presiden hendakkan dan pasukan janjikan kepada persatuan,” ujar Nidzam.

Dalam pertemuan bertemu pasukan Terengganu II baru-baru ini, KLFA mendahului seawal minit ke-12 apabila Francis Kone menyempurnakan sepakan penalti sebelum Paulo Josue memastikan KLFA mendahului 2-0 pada minit ke-20.

Francis Kone sekali lagi memastikan KLFA terus berada di hadapan dengan mendahului 3-0 selepas menjaringkan gol pada minit ke-47 menerusi sepakan penalti.

Pasukan pelawat cuba merapatkan jurang gol dengan apabila Jordan Mintah menjaringkan gol pada minit ke-81, namun Zhafri Yahya memastikan kemenangan milik KLFA apabila menjaringkan gol keempat pasukannya daam masa tambahan.

Mengulas mengenai persembahan keseluruhan pemainnya bagi perlawanan tersebut, Nidzam berkata banyak perkara yang masih perlu diperbaiki oleh pasukannya.

“Saya rasa ada benda lagi yang kita perlu perbaiki secara spesifik bagi setiap perlawanan. Kita tahu pasukan lawan datang dengan pasukan yang kurang seimbang dan kita perlu mengambil kesempatan itu dan hasilnya kita dapat empat gol,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas