Berita

Salah ‘tembak’… Bukan rosakkan tetapi tanam rumput cantikkan padang

||
- Diterbit 14 September 2020 5:18 AM MYT

TUDUHAN negatif tanpa usul periksa yang disiarkan laman facebook atas nama Selamatkan Taman Timba Bukit Kiara terhadap Program Pengindahan Taman Awam Bukit Kiara pada 13 September lalu adalah tidak berasas sama sekali.

Isu ini timbul apabila ada pihak yang mendakwa padang bola di taman awam tersebut dirosakkan kerana penanaman pokok.

Dakwaan ini tidak benar kerana padang tersebut ditanam rumput dan pokok renek serta tiang gol dicat semula supaya kemudahan rekreasi itu kelihatan lebih indah dari sebelumnya.

Jadi, ‘sudah terang lagi bersuluh’ penambahbaikan padang itu adalah untuk kebaikan orang awam terutama mereka yang mahu melakukan aktiviti rekreasi di padang seperti bermain bola sepak dan sebagainya.

Buktinya, pada 13 September lalu, sebuah program penjagaan alam semula jadi telah dianjurkan iaitu Program Pengindahan Taman Awam Bukit Kiara.

Menteri Wilayah persekutuan , Tan Sri TPr Annuar Musa turut turun padang tanda sokongan terhadap aktiviti pengindahan taman-taman yang terdapat di Kuala Lumpur.

Program ini sebenarnya membuktikan hanya usaha penambahbaikan kualiti taman itu dititikberatkan oleh kerajaan dan bukannya merosakkan kemudahan sedia ada seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Taman Awam Kiara ini sangat penting ianya dijaga, dibaiki, diperelokkan, supaya dapat digunakan sebaik mungkin kerana ini adalah sebahagian daripada hati nurani, jiwa dan raga sebuah bandar.

“Kawasan-kawasan hijau dan lapang yang semakin berkurangan adalah khazanah yang sangat berharga perlu dijaga dan dinaiktaraf.

“Saya telah meminta pihak DBKL untuk melihat di mana lagi kawasan yang kita boleh tambahkan seperti tempat rekreasi awam, tasik-tasik yang terbiar, tasik dan alur sungai yang belum dimajukan.

“Kerajaan mempunyai dasar yang sangat jelas terhadap keprihatinan menjaga taman-taman awam, menambah bilangannya dan meningkatkan kualitinya,” jelas Annuar Musa ketika berucap dalam program tersebut.

Sementara itu, satu halaman facebook Sahabat Taman Awam Bukit Kiara diwujudkan oleh sukarelawan yang menyokong program pengindahan taman tersebut. Orang ramai yang berminat dengan ‘like’ halaman tersebut di facebook untuk info-info terkini. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas