Berita

‘Tiada orang ketiga antara kami’ – Rosma

- Diterbit 16 April 2024 3:50 PM MYT

SEJAK akhir-akhir ini kecoh isu rumah tangga artis berantakan gara-gara gangguan orang ketiga dalam rumah tangga mereka.

Ramai yang beranggapan, bukan mudah untuk pasangan suami isteri yang bergelar selebriti kerana sentiasa diduga dan diuji.

Dalam pada itu, Rosma dan Khai dipetik netizen antara pasangan suami isteri selebriti yang kekal bahagia setelah 18 tahun berkahwin.

Menurut Rosma atau nama sebenarnya Rosmayati Sidik,39, faktor komunikasi adalah perkara paling penting dalam sesebuah rumah tangga.

“Alhamdulillah. Sejak kami mendirikan rumah tangga, tak ada gangguan orang ketiga antara kami. Sama ada daripada pihak saya atau Khai, kami dijauhkan perkara itu.

“Nak cakap apa rahsia atau petua. Saya rasa apa yang paling penting dalam perkahwinan atau mana-mana hubungan pun adalah komunikasi.

“Paling penting dalam rumah tangga adalah komunikasi. Kalau ada rasa tak sedap hati atau ada perselisihan kena ada komunikasi dan jangan simpan dalam hati.

“Kalau saya tengok Khai tiba-tiba diam, saya akan tanya terus sama ada saya ada buat salah. Mungkin ada kata-kata saya yang kasar atau mengguris hati dia tanpa saya sedar.

“Jika saya ada terkasar tanpa sengaja, Khai akan beritahu saya dan terus minta maaf. Iyalah, kadang-kadang kita tidak sedar.

“Sebenarnya kami faham body language masing-masing. Misalnya Kalau tadi dia boleh gelak ketawa tapi tiba-tiba dia diam, maknanya adalah sesuatu yang tak kena,” katanya.

Rosma juga akur kemunculan media sosial dalam masyarakat hari ini turut menyimbang kepada masalah rumah tangga jika tidak bijak menggunakannya.

“Hari ini, media sosial adalah trend sekarang. Tidak salah untuk ada akaun media sosial asalkan kita tahu batas dan berhemah dalam menggunakannya.

“Walaupun Khai buka akaun media sosial, tapi dia tak baca mesej-mesej yang masuk.  Mesej-mesej tu saya yang baca.

“Tak dinafikan, memang ada yang nak berkenalan tu, saya biarkan saja dan padam mesej-mesej tersebut. Khai pun tahu tentang itu,” ujarnya.

Rosma juga memanjatkan rasa syukur apabila dikurniakan suami yang tahu menghargainya dan pandai menjaga emosi isteri.

“Khai memang akan beritahu apa saja perkara dan ke mana sahaja dia pergi. Saya tak sempat tanya pun dia beritahu dulu.

“Memang semasa berkawan dulu pun, apabila dia berlakon, dia jenis yang akan beritahu apa babak yang akan dilakonkan. Saya tak tanya pun, dia tetap akan beritahu.

“Saya selalu beritahu dia, awak kerja (berlakon), saya faham. Tapi dia cakap rasa tak selesa kalau tak beritahu awal,” katanya.

Dalam pada itu, Rosma yang juga mengikuti kisah Bella Astillah yang kini menjadi bualan, menyifatkan wanita itu kuat.

“Pada saya, mereka yang mengalami masalah rumah tangga ni mereka kuat. Khai selalu cakap, kita tak berada dalam kasut mereka, tak tahu apa yang mereka lalui.

“Apa yang penting, kita  doakan agar mereka yang ada masalah rumah tangga ini Allah berikan jalan penyelesaian yang terbaik.

“Apa pun yang berlaku, jangan  ada rasa dendam.

“Apabila isu-isu rumah tangga ni menjadi bualan, saya selalu cakap pada suami, kalau ada tak puas hati tolong luahkan.

“Buat Bella. Saya tahu anda wanita kuat. Saya doakan agar Bella dan Aliff, semoga Allah kurniakan jalan penyelesaian terbaik buat anda berdua.

“Saya tahu anda berdua sudah melalui pelbagai (dugaan). Biarlah apa yang berlaku ini dapat diselesaikan tanpa ada pertelagahan  lebih-lebih lagi dah ada anak.

Rosma yang berkahwin dengan Khai yang juga bintang Akademi Fantasi musim pertama pada 26 April 2008  kini dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Muhammad Amzar Danish, 15, Nur Amani Damia, 11, dan Nur Alya Dhania, 4. – WILAYAHKU

 

 

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas