Berita

Suspek kes tembak KLIA 1 cuba lari ke Arab Saudi melalui Thailand

Kredit foto: BERNAMA
- Diterbit 16 April 2024 4:09 PM MYT

SUSPEK lelaki yang melepaskan tembakan di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 awal pagi Ahad lepas sebelum ditahan di Kota Bharu semalam, dipercayai cuba meloloskan diri melalui sempadan negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ia berdasarkan rekod perjalanan suspek yang sering ke luar negara, selain memiliki pasport serta sejumlah mata wang asing Riyal dan Baht.

Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan hari ini, beliau berkata polis juga sedang memperhalusi kaedah digunakan suspek dipercayai untuk melarikan diri ke luar negara.

“Rekod perjalanan yang kita kaji sebelum ini memang suspek kerap ke luar negara seperti ke Arab Saudi dan Thailand sebelum masuk ke Malaysia.

“… ya, memang wujud usaha suspek untuk melarikan diri melalui sempadan negara dan kita masih mengumpul maklumat itu,” katanya.

Mengulas mengenai sama ada suspek ada membuat permohonan visa untuk ke luar negara, Mohd Shuhaily berkata perkara itu masih disiasat.

Mohd Shuhaily berkata siasatan awal mendapati suspek tiba di Kelantan pada 14 April lepas dengan menggunakan kereta yang sama iaitu Honda Civic, namun menukar nombor plat pendaftaran kereta itu bagi mengelak pergerakannya dikesan.

Menurutnya sebelum ditahan, lelaki tersebut menginap di sebuah hotel di Kota Bharu.

“Suspek memiliki empat kad pengenalan diri milik orang lain dan satu daripada kad pengenalan itu digunakan untuk membuat pendaftaran hotel,” katanya.

Beliau berkata suspek menggunakan kad pengenalan milik orang lain untuk mengelakkan dirinya dikenal pasti orang awam dan dikesan oleh pihak berkuasa.

“Hasil intipan dilakukan, polis menahan lelaki itu berhampiran sebuah hospital swasta pada kira-kira 3 petang dan berlaku pergelutan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas