Berita

Tiada erti kalah dalam kamus hidup Safuan

SAFUAN Bachtiar.
- Diterbit 7 November 2019 9:48 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

KEHIDUPAN sebagai pramugara mungkin menjadi impian bagi sesetengah orang kerana berpeluang bekerja di awan biru di samping berkesempatan melawat negara orang.

Namun bagi Safuan Bachtiar, 36, yang pernah berkhidmat sebagai pramugara selama 11 tahun, kerjaya yang menjadi kebanggaan itu akhirnya ‘ranap’ apabila Malaysia Airlines System (MAS) terpaksa menamatkan perkhidmatan ribuan kakitangannya.

“Saya mula bekerja pada tahun 2005 sehingga 2016 namun akibat masalah kewangan syarikat penerbangan tersebut pada 2016, saya menjadi antara ribuan pekerja yang terpaksa diberhentikan.

“Kehidupan agak terkesan kerana sumber pendapatan hilang sekelip mata namun saya harus bangkit untuk meneruskan kehidupan” katanya kepada Wilayahku.

Safuan berkata, dia yang sebelum ini mempelajari kemahiran sebagai juru dandan rambut lelaki berkata, nasibnya agak baik kerana terdetik untuk mempelajari kemahiran berkenaan.

“Oleh kerana minat mulai bercambah di dalam bidang ini, saya belajar dengan seorang rakan dan mula menggunting rambut pelanggan ketika waktu cuti secara suka-suka untuk meningkatkan kemahiran,” ceritanya.

Dia turut belajar kemahiran tersebut dengan pereka rambut terkenal antarabangsa.

“Ketika bekerja dahulu, apabila terdapat jadual ke Amsterdam, saya akan menghubungi seorang pereka rambut yang berada di Rotterdam dan belajar dengannya selama sehari.

“Selain Rotterdam, saya juga pernah menuntut ilmu dalam bidang ini di New Zealand dan Australia dan kesemua kelas tersebut dihadiri ketika waktu rehat di negara tersebut,” katanya.

Tambah Safuan, apabila diberhentikan kerja dari syarikat penerbangan berkenaan, dia tiada pilihan lain selain meneruskan pekerjaan sebagai tukang gunting rambut secara sepenuh masa.

“Saya bersyukur kerana dari sekadar minat kini telah berjaya menubuhkan sebuah akademi bersama dengan seorang rakan dan mempunyai tiga buah kedai gunting rambut berkonsepkan moden,’’ katanya.

Bapa kepada empat cahaya mata ini berkata, pengorbanan yang dilakukan untuk menuntut ilmu kemahiran terbalas dan kini berjaya melahirkan ramai pelajar yang bekerja mahupun membuka perniagaan sendiri.

“Apa yang penting ialah jangan menyerah kalah terhadap dugaan dalam kehidupan kerana ia sebenarnya akan memberikan kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas