Berita

Banyakkan aktiviti komuniti PPR

KHALID (belakang, tengah) bergambar bersama remaja yang menyertai aktiviti Hari Seni di PPR Seri Tioman 1, Gombak baru-baru ini.
- Diterbit 7 November 2019 9:52 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto Ihsan KWP

KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu berusaha untuk membantu kerajaan bagi memperbanyakkan aktiviti seni dan budaya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) agar dapat mengurangkan aktiviti tidak sihat dalam kalangan komuniti di kawasan berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, syarikat pemaju dan pihak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) harus memainkan peranan dalam menjayakan inisiatif tersebut.

“Kita mahu syarikat-syarikat besar, pemaju dan NGO kerap turun ke PPR dan memanfaatkan kemudahan yang ada dengan melibatkan penduduk.

“Kita cuba untuk melibatkan sekali penduduk-penduduk untuk mendatangkan keceriaan dengan adanya pendedahan kesenian dan sebagainya supaya suasana di PPR tidak terlalu suram atau menyedihkan.

“Banyak masalah jenayah dan penyalahgunaan dadah berlaku jika (penduduk) PPR diabaikan, jadi kita tidak mahu itu berlaku,” katanya ketika ditemui pada program Hari Seni di PPR Seri Tioman 1 di Gombak, di sini, baru-baru ini.

Ujar Khalid lagi, pihaknya juga menggesa pemaju-pemaju dan syarikat-syarikat besar yang lain untuk turun bersama dan memberikan sumbangan supaya suasana di PPR menjadi lebih baik.

“Syarikat pemaju bagi mengambil PPR sebagai anak anak angkat dan dalam tempoh satu tahun mereka menjalankan program untuk memperbaiki suasana di PPR.

“Antara perkara yang boleh dilakukan termasuk mengecat semula bangunan, memperbaiki kemudahan mereka kerana kerajaan tidak mampu untuk menanggung semua perkara dan,” katanya.

Hari Seni merupakan program anjuran KL DiverseCity bersempena Projek Komuniti Kita dan Festival KLIAF kelima dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Yayasan Hasanah dan syarikat pemaju, Lendlease.

Program yang dianjurkan sejak Jun lalu memfokuskan kepada lima PPR iaitu Seri Tioman; Batu Muda di Sentul; Putra Ria di Abdullah Hukum; Seri Selangor di Cheras dan Seri Hang Tuah di Bukit Bintang.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas