Berita

Agong kagum pencapaian Putrajaya

TENGKU Abdullah memukul gong ketika berkenan merasmikan National Planning Congress 2019 di Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 7 November 2019 9:44 AM MYT

Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

PUTRAJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa kagum terhadap pencapaian Putrajaya yang sering mendapat pujian negara-negara luar ketika berkenan menyempurnakan perasmian Kongres Perancangan Bandar Kebangsaan 2019 di sini baru-baru ini.

Seri Paduka bertitah, kebayakan pemimpin asing yang bertemu baginda menyatakan hasrat untuk mempelajari pencapaian perancangan Putrajaya.

“Apabila saya bertemu dengan ketua negara kebelakangan ini, ada juga pemimpin negara asing mereka menyatakan betapa cantiknya Putrajaya.

“Ini yang harus kita semua rasa bangga kerana ada juga antara mereka menyuarakan hasrat mempelajari pencapaian atau perancangan yang dibuat kerajaan,” titah Seri Paduka.

Ketika bertitah, Sultan Abdullah turut berkongsi kisah bahawa baginda hanya dapat mengenali Putrajaya dengan lebih dekat sejak menjadi Yang di-Pertuan Agong.

“Saya mengaku saya orang kampung. Bila masuk bandar, perasaan saya begitu terharu dan Putrajaya memang satu bandar yang baharu bagi saya.

“Kalau saya tidak memegang jawatan Yang di-Pertuan Agong mungkin saya tidak tahu sangat tentang bandar ini. Setahun sekali (datang Putrajaya) pun mujurlah,” titah baginda.

Sultan Abdullah turut menitahkan penduduk Putrajaya supaya memiliki sikap yang bertepatan dengan konsep Putrajaya iaitu sebuah bandar pintar sebagaimana masyarakat di negara maju.

“Kita harap penduduk yang tinggal dalam bandar pintar ini adalah orang pintar iaitu yang mempunyai kesedaran sivik dan disiplin tinggi serta tahap toleransi tinggi.

“Saya baru balik dari Jepun. Sempat tengok dan dapat dengar pandangan mereka. Saya begitu teruja dengan sikap mereka. Harap kita dapat mengikuti dan mencontohi orang yang dikatakan lebih maju daripada kita,” titah baginda.

Sultan Abdullah turut menzahirkan hasrat berkenan untuk mencemar duli ke sambutan ulang tahun ke-25 Putrajaya pada tahun hadapan.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad ketika berucap menyatakan, antara anugerah yang dimenangi Putrajaya dalam bidang perancangan bandar ialah Bandar Mampan Malaysia 2018, Bandar Pelancongan Bersih ASEAN 2018 serta Bandar Lestari ASEAN 2016 dan 2014.

Tasik Putrajaya pula diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai satu daripada warisan dunia iaitu World Eco-Hydrological Site.

Terdahulu, kongres dua hari bermula 4 November itu diadakan sempena sambutan Hari Perancangan Bandar Dunia.

Bertemakan ‘Smart Partnership in the Digital Era’, kongres itu dianjurkan bersama oleh Perbadanan Putrajaya dan Pertubuhan Perancang Malaysia serta rakan strategik seperti Putrajaya Holdings dan universiti awam.

Hadir sama Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk Dr. Aminuddin Hassim.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas