Berita

‘The Friendliest Parkrun’ berlari sambil nikmati keindahan taman

|||||||||
- Diterbit 16 Julai 2023 6:00 AM MYT

KEINDAHAN panorama taman Putrajaya yang terletak di Presint 18, Putrajaya membuatkan peserta Parkrun edisi ke-114 terpesona sehingga tidak
terasa seperti sudah berlari sejauh lima kilometer.

Menurut Pengarah acara Parkrun, Putrajaya, Razzian Mat Razali, program itu adalah sebahagian daripada inisiatif pihaknya untuk menggalakkan gaya hidup sihat kepada setiap rakyat di negara ini bermula daripada kanak-kanak hingga dewasa.

“Memandangkan Malaysia merupakan satu daripada empat negara yang mempunyai masalah berat badan berlebihan di Asia Pasifik menyebabkan kesedaran daripada akar umbi perlu diberikan.

“Jadi kami di Parkrun ingin mengambil pendekatan untuk menerapkan budaya gaya hidup sihat melalui acara seperti ini yang diadakan pada setiap hari Sabtu,” ujarnya kepada Wilayahku.

Dalam masa sama, dia berkata Parkrun ditubuhkan atas semangat dan objektif sekumpulan individu untuk mewujudkan komuniti yang sihat, ceria dan positif di Putrajaya.

“Peserta yang hadir boleh menyertainya secara berjalan atau berlari sejauh lima kilometer, menjadi sukarelawan atau sekadar menjadi penyokong yang menyaksikan acara. Bagi pelari atau pejalan kaki, mereka perlu menghabiskan larian lima kilometer mengikut laluan telah ditetapkan.

“Istimewanya, tiada had masa yang ditetapkan untuk mereka menghabiskan larian tersebut. Malah, tiada peserta larian yang akan menghabiskan lima kilometer di tempat yang terakhir kerana satu-satunya individu yang akan menjadi peserta terakhir ialah sukarelawan yang bertugas sebagai tailwalker,” jelasnya.

Tambahnya, bagi peserta yang hadir sebagai sukarelawan pula, mereka boleh berkhidmat dengan mengambil pelbagai tugasan yang tersedia di
Parkrun seperti timekeeper, barcode scanner, marshal dan lain-lain.

Lebih menarik, Razzian memberitahu konsep pelaksanaan Parkrun adalah percuma dan dikelolakan sepenuhnya oleh sukarelawan yang secara tidak langsung
dapat menerapkan nilai-nilai murni seperti ketelusan, keikhlasan dan semangat setiakawan.

“Pendaftaran adalah sekali seumur hidup tanpa dikenakan sebarang yuran penyertaan. Selepas mendaftar, peserta akan menerima kata laluan Parkrun masing-masing yang boleh digunakan untuk menyertai mana-mana lokasi Parkrun di seluruh dunia.

“Dari segi umur untuk penyertaan pula, pendaftaran program yang dibenarkan adalah bagi umur empat tahun dan ke atas. Walau bagaimanapun, peserta di bawah 11 tahun perlu ditemani oleh ibu bapa atau penjaga supaya keselamatan mereka terjamin,” ujarnya ia terbuka dan inklusif kepada semua tanpa mengira bangsa, kepercayaan mahupun keupayaan seseorang.

Di samping itu, Razzian berkongsi pihaknya pernah menerima kunjungan pelari berkerusi roda, orang kurang upaya (OKU) penglihatan (buta) dan juga OKU pendengaran.

“Apa yang mengagumkan apabila melihat ibu bapa yang berlari bersama anak-anak kecil atau menolak stroller anak. Bukan itu sahaja, ada juga pasangan suami isteri yang menyertai acara bersama-sama.

“Bagi saya, suasana tersebut amatlah positif dan menggambarkan kekeluargaan. Kami di sini bermula sebagai orang asing pada 3 November 2018. Tetapi
setelah hampir lima tahun, kami telah berjaya mewujudkan Parkrun Family,” tambahnya selepas lima hari menghabiskan masa bekerja, hari Sabtu merupakan hari yang ditunggu-tunggu untuk mereka berkumpul bersama bagi melupakan seketika hiruk-pikuk sepanjang minggu lalu.

PESERTA LUAR NEGARA

WALAUPUN sudah 114 kali dianjurkan, Parkrun di Presint 18, Putrajaya berjaya menarik minat ramai peserta yang berusaha menjadikan aktiviti itu sebagai salah satu daripada amalan hidup mereka.

“Pihak kami amat berbangga apabila berjaya memupuk satu komuniti yang menitikberatkan aspek kesihatan dan membudayakan sukan,” ujarnya Parkrun di Putrajaya terkenal sebagai The Friendliest Parkrun oleh pelancong luar negara yang hadir ke sini.

Menurutnya, program larian itu mampu menyatukan masyarakat melalui medium sukan dan melakukan aktiviti sihat secara bersama.

“Kita dapat penyertaan daripada peserta luar negara seperti United Kingdom, Australia dan banyak lagi, malah dari negeri lain seperti Johor juga ada. Diharap ia dapat membuka mata mereka mengenai kelebihan Parkrun di Putrajaya dan hadir sebagai pelancong di masa akan datang,” ujarnya yang sentiasa menyokong usaha program sebegini kerana selain menggalakkan amalan gaya hidup sihat ia juga dapat memberi impak positif kepada pelancongan di Putrajaya.

Buat mereka yang berminat untuk menyertai program, sila layari laman sesawang www.parkrun. my/presint18 atau Facebook di @ Presint 18 Parkrun Putrajaya untuk sebarang maklumat lanjut. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas