Berita

Tenaga pengajar didakwa palsu dokumen pusat pengajian agama

- Diterbit 29 Julai 2021 12:00 AM MYT

SEORANG tenaga pengajar pusat pengajian agama mengaku tidak bersalah semalam atas tuduhan menggunakan dokumen palsu dalam urusan rasmi membabitkan pusat pengajian terbabit pada 2015.

Tertuduh, Mohd Idrus Ahmad@Ab Kadir, 46, yang didakwa di mahkamah sesyen di sini telah meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad@Shaharudin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curang menggunakan dokumen iaitu ‘Cabutan Minit Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pengurusan Maahad Tahfiz Intan Sungai Petani Kali Ke-8’ yang palsu dalam urusan rasmi.

Mohd Idrus didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Peguam Tetuan Badrul, Samad, Faik & Co pada 15 September 2015.

Berikutan itu, ia menjadi kesalahan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Zulfadli Azharudin manakala tertuduh diwakili peguam, Saiful Izham Ramli.

Saiful dalam rayuannya memohon jaminan lebih ringan dikenakan berikutan anak guamnya hadir sendiri ke mahkamah, selain dia menetap di negeri ini.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM5,000 dan seorang penjamin dikenakan ke atas tertuduh dengan sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Ogos depan.

Sementara itu, tertuduh membayar wang jaminan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar berserta seorang penjamin.

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas