Berita

Polis akan panggil enam petugas media didakwa ceroboh masuk PKRB MAEPS

KETUA Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, PKRCB MAEPS merupakan kawasan larangan dan diwartakan sebagai tempat kuarantin dan rawatan penyakit berjangkit.
- Diterbit 28 Julai 2021 11:51 AM MYT

POLIS akan memanggil dalam masa terdekat enam petugas media, yang didakwa menceroboh Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Bersepadu (PKRCB) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang pada Isnin lalu, dan membuat liputan berita tanpa mendapat kebenaran pihak pengurusan.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, PKRCB MAEPS merupakan kawasan larangan dan diwartakan sebagai tempat kuarantin dan rawatan penyakit berjangkit pada 6 Dis tahun lepas, dan susulan insiden tersebut pihak pengurusan pusat berkenaan telah membuat laporan polis pada 4 petang semalam.

“Berdasarkan laporan polis yang dibuat, wartawan berkenaan telah pergi ke Zon Kuning yang berada di sebelah kawasan kuarantin pesakit COVID-19 kategori tiga dan empat. Kalau saya pergi ke MAEPS sendiri pun saya kena minta kebenaran untuk masuk ke pusat tersebut, inikan pula wartawan atau sesiapa sahaja,” katanya.

Arjunaidi berkata tindakan petugas media masuk ke pusat itu dengan yang hanya memakai pelitup muka dan pelindung muka tanpa sebarang peralatan perlindungan diri (PPE), bukan hanya membahayakan diri mereka malah berkemungkinan akan membawa virus itu keluar dari pusat tersebut.

Beliau berkata pihaknya telah mengenal pasti kesemua enam petugas media daripada pelbagai agensi terbabit, dan kes disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, siasatan juga akan dibuat untuk mengetahui bagaimana kesemua mereka itu boleh masuk secara serentak ke pusat itu.

“Pihak polis hanya mengawal kawalan keselamatan di luar pusat itu, di dalam pusat itu kita tak masuk… itu sebab kita nak siasat siapa yang bawa masuk dan bagaimana mereka masuk,” katanya.

Pada masa yang sama, Arjunaidi turut menegaskan tindakan polis merakam keterangan 17 doktor di pusat itu, adalah untuk membantu siasatan kes pencerobohan tersebut dan bukannya mengenai hartal doktor kontrak.

“Jadi isu kenapa kita rakam percakapan mereka sehingga jam 3 pagi, ini kerana doktor-doktor itu mula bertugas dari 8 malam hingga 8 pagi, kalau kita nak rakam percakapan mereka pada siang hari iaitu selepas 8 pagi tadi, sudah tentu mereka sudah letih. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas