Berita

Tawaran pampasan berdasarkan nilai yang diberi Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah

semua penduduk yang terlibat di dalam projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru.
- Diterbit 27 Jun 2022 1:56 PM MYT

TAWARAN pampasan untuk semua penduduk yang terlibat di dalam projek pembangunan semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini adalah berdasarkan nilai yang diberikan oleh
Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH).

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP) Datuk Muhammad Yasir Yahya berkata, urusan pengambilan tanah adalah berlandaskan peruntukan undang-undang yang jelas di bawah Seksyen 3(1)(C) Akta Pengambilan Tanah 1960.

“Perkara utama yang menjadi tumpuan adalah berkaitan sebahagian penduduk tidak bersetuju kepada proses pengambilan tanah dan nilai pampasan yang diperoleh oleh penduduk setempat.

“Projek pembangunan semula ini telah mendapat persetujuan sebahagian besar
penduduk kawasan terbabit, dan perjanjian usaha sama telah pun ditandatangani di
antara 192 petak rumah pangsa dan 27 unit rumah teres dengan pihak pemaju,”

“Pampasan yang mencukupi telah digunapakai berdasarkan nilai yang diberikan oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Hartanah (JPPH),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai rekod, JPPH merupakan jurunilai hartanah di bawah Kementerian Kewangan.

Menurut Muhammad Yasir, pengambilan tanah dilaksanakan ke atas pemilik-pemilik tanah yang tidak menandatangani usaha sama dengan pemaju.

“Setakat ini, pengambilan tanah telah sempurna dilaksanakan terhadap 72 petak rumah pangsa bagi tujuan pembangunan semula.

“Hanya berbaki 37 unit rumah teres sahaja lagi yang masih belum dilaksanakan siasatan,” katanya.

Tambahnya, pihak yang terkilan terhadap nilai pampasan ini masih boleh merayu kepada mahkamah, dan mahkamah akan menilai semula pampasan yang bersesuaian kepada perayu. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas