Berita

Dakwaan PKB mendiamkan 34 pemilik lot teres mengelirukan

34 lot rumah teres di kawasan itu adalah tidak terlibat dengan projek pembangunan semula.
- Diterbit 28 Jun 2022 5:31 AM MYT

JAWATANKUASA Bertindak Pemilik Rumah Teres Kampung Sungai Baru, Kampung Baru di sini yang mendakwa Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) mendiamkan sejumlah 34 pemilik lot rumah teres yang tidak bersetuju dengan pembangunan semula adalah tidak benar dan mengelirukan orang ramai.

PKB dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa status 34 lot rumah teres di kawasan itu adalah tidak terlibat dengan projek pembangunan semula.

“32 lot teres milik individu dan dua lot teres yang terlibat dengan pengambilan tanah untuk jajaran Projek Sistem Kedua Transit Aliran Ringan (LRT) untuk Kuala Lumpur – Jajaran Pasar Seni ke Jalan Damai) adalah tidak terlibat dengan projek pembangunan semula di kawasan Sungai Baru, Kampong Bharu.

“Maka dakwaan Jawatankuasa Bertindak Pemilik Rumah Teres dan Flat Sungai Baru dengan menyatakan bahawa PKB sengaja mendiamkan sejumlah 34 pemilik lot teres lain di Sungai Baru, adalah tidak benar dan mengelirukan orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelas kenyataan itu, jumlah unit yang telah selesai proses perolehan tanah dan bersedia untuk pembangunan telah bertambah kepada 291 unit berbanding 219 unit yang terdiri dari 27 lot teres dan 192 flat selepas penyampaian notis Borang K (Permohonan Supaya Bantahan Dirujukkan Kepada Mahkamah) APT 1960 oleh Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL),

“Ia membabitkan 264 unit flat dan 27 lot teres, iaitu bersamaan 88.72 peratus. Pertambahan peratus tersebut melibatkan sebanyak 72 unit flat setelah borang K dikeluarkan.

“Manakala bagi baki 37 lot teres (11.28 peratus), sesi siasatan pengambilan tanah masih lagi ditangguhkan dan belum serahkan. Perolehan tanah bagi lot teres ini masih belum selesai,” kata kenyataan itu. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas