Berita

YWP akan bantu promosi bazar, produk peniaga

ZAIZALNIZAM menyantuni pengunjung Bazar Kreatif Usahawan Anak Muda Kota di Berjaya Times Square.
- Diterbit 17 Disember 2021 4:04 AM MYT

TANGGUNGJAWAB yang diletakkan di atas ‘bahu’ Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) bukan sahaja mensejahterakan warga Wilayah Persekutuan, malah Usahawan Anak Muda Kota (UAMK) turut diletakkan di bawahnya dengan tujuan membangunkan modal insan golongan usahawan ini.

Ketua Pegawai Eksekutif YWP, Datuk Zaizalnizam Zainun berkata, sebagai penganjur Bazar Kreatif di Berjaya Times Square, pihaknya optimis untuk mempromosikan bazar ini dan juga produk perniagaan usahawan sehingga mereka mampu berdikari.

“YWP adalah penganjur bazar ini dan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Berjaya Times Square. Kita adakan ruang ini untuk membawa dan memberi peluang kepada usahawan anak muda untuk berniaga di tempat yang berprestij iaitu kompleks beli-belah terkemuka ini.

“Melalui jalinan kerjasama dengan dua organisasi ini seperti penyediaan kemudahan serta memberikan pengurangan bayaran ia dapat membuka lebih banyak peluang untuk membangunkan usahawan muda dengan harapan bahawa peniaga kecil ini dapat ditempatkan bagi mudahkan aktiviti perniagaan,” katanya kepada Wilayahku selepas melawat Bazar Kreatif di BTS pada Selasa.

Menurut Zaizalnizam, peserta UAMK ini dipilih daripada panel program di bawah Bahagian Sosio Ekonomi KWP dan pihaknya ditugaskan untuk memantau dan membantu menyediakan keperluan peserta di bazar tersebut.

“Pemilihan usahawan ini sememangnya perlu berdaftar dengan KWP dan ada juga yang kita panggil dan tawarkan peluang ini termasuklah daripada golongan Orang Kurang Upaya (OKU). Kebanyakan peserta ini adalah daripada senarai yang telah diluluskan oleh KWP melalui perogram UAMK. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas