Berita

DBKL rancang kawasan parkir, kemudahan basikal

KSU Kementerian Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang (kiri) bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah berbasikal sempena kempen Bandaraya Rendah Karbon baru-baru ini.
- Diterbit 17 Disember 2021 4:17 AM MYT

SELARI dengan Dasar Bandaraya Rendah Karbon yang menyasarkan pengurangan karbon sebanyak 70 peratus di ibu kota menjelang 2030, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan memperkenalkan kemudahan parkir basikal serta tempat rehat di beberapa tandas awam terpilih sekitar Kuala Lumpur bagi menggalakkan warga kota berbasikal ke tempat kerja.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, kemudahan itu akan membantu pengguna basikal di seluruh Kuala Lumpur yang menjadikan ia sebagai pengangkutan utama ke tempat kerja atau mana-mana destinasi.

“Kita sedang melihat beberapa pilihan untuk menyediakan kemudahan, sebagai contoh kemudahan parkir basikal yang selamat lebih-lebih lagi untuk basikal yang mahal dan juga kemudahan untuk tukar pakaian.

“Mungkin kalau (jarak perjalanan) jauh sikit, semasa berkayuh, pakai pakaian lain, masa hendak bekerja nak kena tukar pakai pakaian lain. Jadi biarlah ada tempat untuk ‘shower’ dahulu, seperti kelab yang mempunyai kemudahan seperti itu dan kemudian masuk bekerja. Ia merupakan satu kemudahan yang disediakan DBKL sebagai menyokong usaha mereka berbasikal ke tempat kerja,” katanya.

DBKL rancang sediakan kemudahan ‘shower’ untuk mereka yang berbasikal ke tempat kerja.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program kayuhan basikal Mobiliti Aktif Bersama Malaysia Green Technology and Climate Change (MGTC) di Dataran DBKL yang disertai lebih 100 peserta dan dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Dr Zaini Ujang pada Ahad.

Program Mobiliti Aktif bersama MGTC yang merupakan agensi di bawah KASA adalah untuk menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kota melalui aktiviti sukan rekreasi, kesenian dan kebudayaan sesuai dengan komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan karbon dan penggunaan bahan api fosil.

Jelas Mahadi, kemudahan tempat rehat itu akan mula dilaksanakan di bangunan DBKL terlebih dahulu dan peruntukan sedang disediakan melalui Bajet DBKL 2022.

“Beberapa tandas awam yang terpilih akan disediakan dengan kemudahan itu dan arahan telah diberikan kepada pegawai-pegawai DBKL dan kemudahan itu adalah seperti negara-negara lain yang mewajibkan penyediaan tandas awam sebelum projek pembangunan diluluskan,” katanya.

Menurut Mahadi, pihaknya turut akan memperluaskan kemudahan lorong biru ke kawasan tumpuan orang ramai seperti ke Kampung Baru Brickfields, Wangsa Maju, Jalan Duta, Ampang dan Titiwangsa sebagai inisiatif menggalakkan orang ramai menggunakan basikal bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Kalau kita lihat di pusat bandar, DBKL telah membina kira-kira 11.8 kilometer (km) laluan biru yang dikhususkan untuk pengguna basikal pada tahun 2018 semasa kita menjadi hos kepada World Urban Forum.

“Sekarang ini kita sedang perluaskan laluan ini ke kawasan Brickfields dengan jarak 6 km, dari Wangsa Maju ke KLCC adalah tidak kurang 18 km, Ampang Hilir sebanyak 5 km dan Taman Titiwangsa hampir 7 km,” katanya.

Tambahnya, DBKL akan mengambil tindakan tegas terhadap pengguna kenderaan yang menyalahgunakan laluan biru dan kira-kira 5,000 kamera litar tertutup (CCTV) akan digunakan untuk memantau penyalahgunaan laluan tersebut.

Sementara itu, Zaini berkata, menerusi Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara, kerajaan berhasrat memastikan bandar-bandar di negara ini dapat mengurangkan pelepasan karbon yang menjadi punca peningkatan suhu bumi.

“Kerajaan telah mengumumkan, pada 2030 kerajaan akan menggunakan kenderaan yang tidak menggunakan petrol atau diesel sebagai komitmen kepada pengurangan pelepasan gas rumah kaca.

“Kerajaan juga akan membina 10,000 km denai sungai di sepanjang sungai-sungai utama sebagai produk ekopelancongan dan tempat rekreasi orang ramai,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas