Berita

Bazar Kreatif tarikan terbaru Berjaya Times Square

|
- Diterbit 17 Disember 2021 3:52 AM MYT

DI Tingkat 4 arah barat Berjaya Times Square, terdapat pintu gerbang bercahaya warna kuning tersergam dengan tulisan Program Usahawan Anak Muda Kota.

Di aras tersebut, program percubaan (pilot projek) untuk membiasakan usahawan muda bumiputera berniaga di pasar raya terkemuka yang dicetuskan Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan agensi di bawah kendaliannya.

Inisiatif Usahawan Anak Muda Kota (UAMK) merupakan program penggalakkan usahawan muda yang dirangka bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Perbadanan Labuan (PL), Perbadanan Putrajaya (PPj), Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan agensi-agensi kerajaan yang terkait dengan keusahawanan.

Apa yang menarik, sebahagian daripada peserta program ini adalah dari golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang berkerusi roda tabah mencari rezeki sendiri.

Kawasan seluas 20,000 kaki persegi ini diperuntukkan khas kepada program ini bagi menyahut seruan KWP bagi membina usahawan muda melalui program UAMK.

Menarik mengenai bazar ini, ia dikendalikan YWP sebagai urusetia dan kebanyakan tapak niaga sudah dipenuhi oleh peniaga yang merupakan dalam kalangan anak-anak muda, Orang Kurang Upaya (OKU) serta golongan suri rumah yang bermotivasi untuk mengubah destini keluarga.

Belanja RM50 dapat baucar taman tema

BAZAR yang berkonsepkan Flea Market ini membahagikan kepada 109 tapak niaga. Ia menempatkan produk-produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan, seni kraf tangan, pakaian, bundle, makanan kering, kosmetik, kelengkapan rumah dan produk kesihatan dan penjagaan diri.

Selain itu, buku-buku langka dan barangan antik turut dijual di sini, malah perkhidmatan melukis karikatur turut disediakan di sini menjadikan Bazar Kreatif ini sebagai jelmaan kepada ‘bazar karat’ yang sebelum ini menjadi platform kepada usahawan yang baharu untuk menceburi dunia perniagaan.

Mungkin timbul keraguan dalam kalangan orang ramai mengenai harga jualan yang mungkin mahal berbanding barangan sama yang turut dijual di pasar-pasar lambak mahupun ejen-ejen perseorangan. Usah khuatir kerana barangan yang dijual di sini berpatutan walaupun ia dijual di kompleks beli -belah terkemuka ibu kota. Faktor lokasi dan nama besar komplek ini dijamin tidak akan mempengaruhi harga jualan di sini.

Antara galakan kepada peniaga di sini adalah pengecualian sewa bayaran selama enam bulan. Ia dilakukan bagi memberikan peluang kepada usahawan boleh berdikari dan stabil dalam tempoh tersebut sebelum bayaran bulanan nominal yang diberikan. Bazar ini juga dibuka setiap hari dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Apa yang paling membanggakan, beberapa usahawan OKU turut merebut peluang berniaga di sini. Berbekalkan kerusi roda, mereka meraikan kedatangan orang ramai dan sesekali memujuk agar produk mereka dibeli. Kekentalan usahawan OKU di bazar ini jelas menunjukkan golongan mampu bersaing sekiranya peluang seumpama ini diberikan seperti inisiatif KWP dan YWP ini.

ZAIZALNIZAM beramah mesra bersama salah seorang peniaga Orang Kurang Upaya (OKU) di Bazar Kreatif Usahawan Anak Muda Kota.

Untuk pengunjung pula, sekiranya anda berbelanja lebih RM50 dan ke atas, anda akan diberikan baucar yang boleh ditebus di Berjaya Times Square Theme Park dengan syarat anda hanya perlu menunjukkan resit bayaran sebelum memasuki taman tema tersebut, yang paling istimewa, anda turut dibenarkan membawa seorang pasangan atau rakan untuk berhibur di taman tema itu.

Malalui inisiatif ini, anak muda dari golongan B40 diberi peluang untuk menceburi bidang keusahawanan dan pihak KWP memperuntukkan kira-kira 1,122 tapak niaga sebagai galakan untuk menjalankan perniagaan di beberapa lokasi sekitar kawasan Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL), hentian bas dan teksi, kios di kafe Sidewalk di beberapa lokasi strategik dan juga pit stop untuk usahawan kendera saji (food truck).

Anak-anak muda terutama dari pada golongan berpendapatan rendah harus merebut peluang yang disediakan ini demi membangunkan ekonomi keluarga sekali gus dapat keluar daripada kepompong kemiskinan bandar yang menjadi ancaman besar kepada warga kota ketika ini.

Sudah pasti, setiap peniaga kecil turut memasang impian untuk menjalankan perniagaan di kompleks-kompleks beli-belah di tengah bandar raya. Manakan tidak, perniagaan atau jenama mereka akan ‘dikumpulkan’ sebaris dengan jenama-jenama besar dan antarabangsa dan ia pasti memberikan impak positif dalam pembinaan jenama dan keyakinan peniaga serta pengunjung. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas