Berita

Sri Pahang FC berhak menang

KETUA jurulatih Sri Pahang FC berpuasa hati dengan aksi yang ditunjukkan oleh anak buahnya pada aksi di Stadium Darul Makmur,Kuantan. Kredit foto; SRI PAHANG FC
- Diterbit 24 Mac 2022 5:47 AM MYT

SKUAD Sri Pahang FC berhak menang kerana menampilkan aksi lebih mantap berbanding Manjung City FC pada saingan kalah mati pusingan pertama Piala FA di Stadium Darul Makmur di sini, malam tadi.

Ketua Jurulatihnya Cristophe Gamel berkata berdasarkan corak permainan ditampilkan, skuad bimbingannya sering melancarkan serangan, namun gagal menyempurnakan peluang menggegar gawang lawan.

“Bermain secara menyerang dalam sesuatu perlawanan lebih sukar berbanding beraksi dengan corak lebih banyak bertahan, inilah yang berlaku kepada kami.

“Kami berjaya mencipta 29 peluang untuk menjaringkan gol tetapi dibazirkan sehingga mengheret perlawanan kepada masa tambahan dan seterusnya penentuan sepakan penalti,” katanya pada sidang media selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan itu, Sri Pahang FC mencatat kemenangan 5-4 ke atas Manjung City FC menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga masa tambahan.

Gamel berkata beliau secara keseluruhan mengagumi semangat juang ditonjolkan anak buahnya walaupun kebanyakan mereka masih kurang cergas selepas dijangkiti COVID-19 baru-baru ini.

“Dijangkiti COVID-19 adalah situasi biasa di seluruh dunia pada masa ini dan saya enggan memperbesarkan hal itu, namun kami sebagai pasukan bola sepak perlu menerima hakikat bahawa ia banyak menjejaskan persiapan pasukan.

“Ini juga merupakan perlawanan rasmi pertama saya bersama pasukan dan kami masih dalam proses belajar dengan ramai pemain baharu untuk dibimbing,” katanya.

Sementara itu, pengendali Manjung City FC Rafae Isa berkata beliau amat berpuas hati dengan persembahan pemainnya malam tadi, terutama mampu mengekang gerakan pemain import pasukan lawan.

“Pasukan kami tiada pemain import tetapi boleh bermain setanding dengan pasukan yang memiliki pemain import seperti Sri Pahang.

“Kunci utama pasukan untuk bermain sehingga penentuan sepakan penalti ini pula apabila mereka mengikut pelan yang sudah saya aturkan dan ia berjaya diterjemah dengan baik di padang,” katanya.

Rafae berkata setelah mengakhiri cabaran Piala FA, mereka kini lebih fokus untuk meneruskan kemaraan dalam saingan Liga M3 dengan sasaran sekurang-kurangnya menghuni kedudukan empat teratas. — BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas