Berita

Sambutan Hari Kebangsaan 2019 penuh gemilang

AGONG-MERDEKA
YANG Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (tengah) bersama Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli hadir menyaksikan sambutan hari Kemerdekaan 2019 di Dataran Putrajaya. - FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 31 Ogos 2019 2:39 AM MYT

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Kebangsaan 2019 yang berlangsung di Dataran Putrajaya di sini meriah dengan kehadiran kira-kira 300,000 pengunjung dari dalam dan luar negara.

Menariknya, kehadiran pengunjung dilihat bermula sejak pukul 6.30 pagi, kesemua mereka sanggup datang awal bagi menzahirkan semangat patriotik selain mengelak kesesakan lalu lintas berikutan banyak laluan ditutup.

Merupakan penganjuran kali keempat di Putrajaya, acara perbarisan dan perarakan kali ini melibatkan 34 kontinjen yang membabitkan 14,885 peserta dari pelbagai sektor serta pelajar.

Istimewanya Hari Kebangsaan 2019 ini, Putrajaya akan menerima keberangkatan pasangan Diraja Yang di-Pertuan Agong baharu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Turut hadir, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet serta Duta-duta asing di Malaysia.

Bertemakan ‘Sayangi Wilayahku: Malaysia Bersih’, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr. Ismail Bakar mengetuai perarakan berkuda Kontinjen Berkuda Perkhidmatan Awam sekali gus bertepatan dengan usaha kerajaan untuk membudayakan tadbir urus negara yang baik, berintegriti tinggi serta menolak amalan jenayah rasuah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas