Berita

Gali sejarah di Muzium Labuan

SUDUT yang menerangkan mengenai pendudukan Jepun ke atas Labuan
- Diterbit 30 Ogos 2019 3:06 PM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto ARKIB PERBADANAN LABUAN

SEJARAH merupakan satu perkara yang amat penting dalam kemajuan sesuatu bangsa. Melalui sejarah, perancangan untuk memajukan sesebuah negara akan lebih berjaya sekiranya tidak meminggirkan budaya dan sejarah asal sesuatu tempat.

Mengenali Labuan sebagai sebuah permata di Borneo, pasti sejarah mengenainya amat menarik untuk digali. Semua sejarah lengkap mengenai Labuan disimpan kemas di Muzium Labuan.

Bangunan ini terletak di Jalan Dewan, Bandar Labuan mula dibuka pada tahun 2004 dan dirasmikan Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan ketika itu, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Bangunan yang menempatkan muzium ini juga mempunyai nilai sejarah memandangkan ia dibina pada tahun 1950-an ketika era penjajahan British dan dijadikan bangunan pentadbiran ketika itu.

Pada tahun 1963, bangunan tersebut pernah berfungsi sebagai Pejabat Daerah Labuan dan seterusnya pernah dijadikan pejabat Majlis Daerah Labuan pada tahun 1980-an.

Pada tahun 1999, Jabatan Muzium dan Antikuiti yang kini dikenali sebagai Jabatan Muzium Malaysia mengambil alih bangunan ini daripada pihak Perbadanan Labuan (PL) dan memulakan proses baik pulih sebelum diubah suai dan siap sepenuhnya pada Febuari 2002.

Muzium Labuan mempunyai dua galeri yang mengkhususkan kepada sejarah dan budaya yang menjadi kebanggan Labuan pada hari ini.

Galeri tingkat bawah didedikasikan untuk sejarah kronologi Wilayah Persekutuan Labuan yang terdiri daripada lapan segmen mengenai tempoh peralihan bermula dari pengenalan, era pra bersejarah, pemerintahan Kesultanan Brunei, pentadbiran Kerajaan Inggeris, Perang Dunia Kedua, era pasca perang, kemerdekaan dan pentadbiran negeri Sabah, personaliti Labuan yang luar biasa dan pembangunan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

Di tingkat atas muzium ini mempamerkan aspek sosio budaya dan sosio ekonomi masyarakat setempat di Wilayah Persekutuan Labuan melalui enam bahagian yang mewakili Melayu Brunei, Kedayan, Cina, Kadazandusun, India dan Sikh yang hidup harmoni dalam masyarakat berbilang kaum.

Terdapat juga sudut diorama kampung air yang dapat memberikan gambaran jelas kepada pengunjung tentang kehidupan harian masyarakat Melayu Brunei di perkampungan air Labuan.

Antara daya tarikan utama di muzium ini adalah replika rumah Kedayan yang menawarkan pengunjung kesan asli sebuah rumah kayu tradisional. Di sini juga kita akan mendapat pengetahuan mengenai penggunaan dan motif tembaga dalam kehidupan masyarakat Labuan.

Koleksi

Muzium Labuan memaparkan 707 koleksi berharga dan kebanyakannya terdiri daripada artifak sejarah dan etnologi.

Antara artifak yang paling berharga ialah batu quern dari zaman neolitik yang terdapat di Pulau Burong. Turut tersimpan rapi di sini adalah satu koleksi senjata perang seperti senjata bawah laut dikenali sebagai senjata perang anti kapal selam.

Kedua-duanya digunakan Tentera Bersekutu untuk memusnahkan angkatan laut Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

Selain itu, antara koleksi yang turut dipamer adalah pena, kerusi dan meja asal yang digunakan Perdana Menteri dan Ketua Menteri Sabah semasa pengisytiharan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan pada tahun 1984.

Turut dipamer koleksi mata wang dan setem Labuan yang digunakan semasa era kolonial dengan kebanyakan koleksi berharga itu telah menjangkau lebih 100 tahun.

Di Muzium ini turut dipamerkan koleksi etnologi iaitu barangan sosioekonomi, instrumen muzik, alat senjata dan memburu, pakaian dan ritual yang digunakan oleh komuniti berbilang kaum di Labuan.

Selain itu, muzium ini turut dipaparkan adat dan budaya dalam majlis perkahwinan, koleksi tembaga untuk kegunaan harian dan fungsi tradisional masyarakat Labuan terutama Melayu Brunei seperti pasu, vesel, mangkuk, dulang, meriam kecil dan anugerah sebagai koleksi peribadi dalam kalangan pemimpin masyarakat.

Di satu sudut lain, turut dipaparkan wajah-wajah pemimpin yang pernah berjasa dalam membangunkan Labuan seperti tokoh politik, tokoh agama, tokoh budaya dan tokoh masyarakat daripada beberapa etnik yang berada di Labuan.

Lokasi Muzium Labuan ini terletak di tengah bandar Labuan boleh diakses menggunakan perkhidmatan teksi serta pengangkutan awam yang lain. Jaraknya yang terletak hanya kira-kira lapan minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan merupakan antara destinasi yang wajib dikunjungi sebelum meneroka lebih mendalam mengenai Labuan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas