Berita

ROS perlu tegas pastikan NGO patuh undang-undang – Saifuddin

- Diterbit 4 Disember 2023 8:34 AM MYT

JABATAN Pendaftaran Pertubuhan (ROS) perlu bertindak tegas terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang gagal menghantar laporan kewangan tahunan bagi memastikan kepatuhan NGO terhadap undang-undang pertubuhan.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Akta Pertubuhan 1966 memberi kuasa kepada ROS antara lain menerima permohonan pendaftaran sesuatu pertubuhan, memberi kelulusan serta memastikan sesebuah pertubuhan itu bergerak sesuai dengan undang-undang.

Beliau berkata ROS perlu melakukan pemeriksaan dan pemantauan secara berkala terhadap pertubuhan berdaftar supaya insiden melibatkan sebuah NGO dibekukan akaun ekoran dakwaan wang sumbangan orang ramai untuk membantu rakyat Palestin disalah guna, tidak berulang.

 “Setiap laporan dihantar NGO mesti diteliti dengan kemas bagi menghalang wujudnya pertubuhan yang berdaftar tetapi aktiviti dilakukan tidak sepertimana yang dinyatakan dalam undang-undang pertubuhan,” katanya dalam sidang media selepas Sambutan Setahun KDN MADANI dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini hari ini.

Sebelum ini dilaporkan SPRM memulakan siasatan ke atas Aman Palestin Bhd berhubung aktiviti pengumpulan derma oleh NGO tersebut untuk rakyat Palestin. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas