Berita

Denggi catat peningkatan sebanyak 314 kes

Gambar hiasan
- Diterbit 4 Disember 2023 7:30 AM MYT

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan peningkatan kes demam denggi sebanyak 314 kes (13.2 peratus) pada Minggu Epidermiologi ke-47 (ME47) tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata pada minggu ini sebanyak 2,686 kes berbanding 2,372 pada minggu sebelumnya.

Tambah Muhammad Radzi, terdapat tiga kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan pada ME47.

“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga ME47 adalah sebanyak 108,429 kes berbanding 56,304 kes bagi tempoh sama tahun lalu iaitu peningkatan sebanyak 52,125 (92.6 peratus).

“Manakala sejumlah 83 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 37 kematian bagi tempoh yang sama pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Muhammad Radzi, bilangan lokaliti hotspot yang dilaporkan meningkat sebanyak 13 lokaltiti pada ME43 iaitu sebanyak 79 berbanding 66 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.

“Dari jumlah tersebut, Selangor mencatatkan sebanyak 60 lokaliti, Perak (7), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (6), Sabah (4) manakala Johor serta Sarawak semuanya satu lokaltiti hotspot,” ujarnya.

Sementara itu, jelas beliau, bagi survelan chikungunya, sebanyak dua kes direkodkan pada ME47.

“Jumla kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 188 kes.

“Bagi survelan zika, sebanyak 3,362 sampel darah dan 363 sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas