Berita

Politik berlebihan punca krisis tergempar

TINDAKAN segelintir pihak yang mempolitikkan isu Undang-Undang Syariah merupakan sikap yang tidak bertanggungjawab
- Diterbit 18 Februari 2024 8:40 PM MYT

TINDAKAN berpolitik secara berlebihan terhadap isu melibatkan Enakmen Jenayah Syariah Kelantan oleh ahli politik menyebabkan isu yang tercetus sejak tahun 2021 menjadi kegemparan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Menurut Peguam, Haniff Khatri Abdullah menegaskan isu ini wajar ditangani lebih awal namun dilihat sengaja dibiarkan sehingga menjadi masalah sekali gus menjadi alat politik kepada pihak berkepentingan.

HANIFF

“Perkara ini telahpun diteliti sebelum daripada penubuhan jawatankuasa ini sebab pada 25 Feb 2021 yang ketika itu di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila kes melibatkan Iki Putra mula-mula diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, yang pada masa itu seksyen 28, Enakmen Jenayah Syariah Selangor berkaitan liwat diisytiharkan sebagai tidak sah disebabkan ia bertindan dengan kuasa undang-undang sivil oleh Kerajaan Persekutuan.

“Maka pada masa itu atau tiga tahun yang lalu, kami bersama-sama sekumpulan peguam melalui gabungan tiga persatuan peguam termasuklah Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Persatuan Peguam Syarie telahpun membuat satu petisyen yang mengandungi cadangan-cadangan yang perlu dibuat terus kepada Ahli-Ahli Parlimen rentas parti dan mereka telah mendapat taklimat tentang apa yang perlu dibuat oleh kedua belah pihak, kerajaan dan pembangkang,” kata beliau ketika dihubungi.

Menurut Haniff menerusi petisyen yang dihantar, pihaknya telah mencadangkan beberapa peruntukan iaitu nombor 1 yang paling penting adalah dalam perlembagaan untuk menentukan apa kuasa gubalan persekutuan menerusi Parlimen serta kuasa gubalan undang-undang negeri.

“Dalam senarai kedua itu ada item 1, ada tujuh atau lapan perkara yang menjadi bidang kuasa kepada negeri dalam soal penggubalan undang-undang. Antaranya adalah untuk menggubal undang-undang kesalahan-kesalahan jenayah yang melanggar perintah-perintah agama Islam terhadap orang Islam selagi ia tidak tertakluk dalam senarai persekutuan.

“Jadi isunya adalah perkataan itu,’selagi ia tidak terkandung di dalam senarai persekutuan’ dan sekarang ini apabila undang-undang syariah negeri digubal, kalau ia bertindan satu atau dua elemen jenayah itu maksudnya ia sudah melangkaui kuasa persekutuan.

“Kalau kita hendak adakan undang-undang syariah terpakai untuk orang Islam, boleh iaitu pindaan perlu buang sahaja syarat tersebut selagi ia tidak bertindan atau bertindih kuasa persekutuan maka dibuang sahaja klausa itu sekali gus kita akan ada dua set undang-undang,” ujarnya.

Haniff berkata justifikasi penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Menggubal dan Meminda Undang-Undang Syariah dilihat tepat bagi merungkai masalah-masalah berkaitan dengan pertindanan undang-undang yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Jawatankuasa khas itu ditubuhkan oleh Raja-Raja Melayu menerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertujuan untuk mengkaji dan meneliti mengenai sebarang undang-undang dari aspek Perlembagaan Persekutuan supaya ia dapat dibaik pulih daripada cabaran yang dihadapi.

“Enakmen dan gubalan undang-undang Jenayah Syariah di negeri-negeri adalah di bawah Sultan dan Raja Melayu dan itu yang menyebabkan perlu melalui jawatankuasa tersebut,” katanya.

Ujar Haniff, umat Islam perlu memahami bahawa Kerajaan Persekutuan tidak boleh membuat atau menubuhkan jawatankuasa ini hanya bertindak dalam memberi pandangan, idea dan sumbangan.

“Jawatankuasa khas itu bukanlah pihak yang berkuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menyarankan kepada kerajaan apakah dia kuasa-kuasa yang perlu diberi kepada DUN untuk menentukan kuasa gubalan Undang-Undang Syariah tidak menjejas selepas ini dan atas perkara itu jawatankuasa ini ditubuh,” katanya.

Haniff berkata jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi dan dianggotai 11 pakar undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan ini mempunyai kredibiliti untuk memberi pandangan dan penelitian untuk memelihara undang-undang syariah termasuklah cadangan dan gubalan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas